CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, June 3, 2008

ENAM KEJAYAAN PAS PERAK... UST. AHMAD AWANG

Selaku Pesuruhjaya PAS Perak, saya telah menyampaikan ucapan di Majlis Taklimat MB yang diadakan di dewan serbaguna Kediaman Menteri Besar Perak.

Majlis tersebut dihadiri lebih 700 pemimpin PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan. Ketika berucap, saya menegaskan bahawa pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 8 Mac lalu dengan memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri telah memberikan PAS Perak enam kemenangan yang sangat bermakna.


Intisari kemenangan yang saya huraikan dalam ucapan adalah seperti berikut:


Penubuhan kerajaan campuran PAS-DAP-KeADILan yang kini dikenali kerajaan Pakatan Rakyat.


Perbincangan dibuat di antara ketiga-tiga parti pada kira-kira jam 1 pagi selepas DAP memenangi 18 kerusi Dun, KeADILan (7) dan PAS (6). DAP memulakan jemputan untuk membentuk kerajaan negeri kerana jumlah kerusi dimenangi parti pembangkang adalah 31 berbanding 28 kerusi BN.


PAS kemudian berbincang dengan KeADILan dan persetujuan di antara ketiga-tiga parti dicapai apabila DAP negeri bersetuju jawatan Menteri Besar disandang oleh ADUN Melayu Islam dari pihak BA (PAS-KeADILan) .


Pengumuman atas pemuafakatan antara ketiga-tiga parti untuk menubuhkan kerajaan campuran dibuat kira-kira jam 2 pagi di Pejabat DAP negeri yang teletak hanya kira-kira 50 meter dari Pejabat Perhubungan PAS negeri. Lebih 10 pemberita dan jurugambar tempatan mengemukakan pertanyaan kepada saya dan pengerusi DAP, Ngeh Koh Ham (sekarang Dato'). Jawapan kami sama iaitu bersepakat menyahut suara rakyat yang mahukan perubahan supaya pentadbiran BN digantikan.


Dalam pengumuman itu kami namakan kerajaan Barisan Rakyat. Ia bukannya kerajaan DAP, tidak juga kerajaan PAS atau KeADILan.


Menerajui kerajaan Pakatan Rakyat


Adun PAS Pasir Panjang, Ir Haji Mohd Nizar Jamaluddin (kini Dato' Seri) kemudian diperkenan Sultan Perak sebagai Menteri Besar Perak ke-10.


Menurut persetujuan awal ketiga-tiga parti, beliaulah satu-satunya calon untuk jawatan tersebut yang akan dipersembahkan kepada Sultan. Tetapi kemudiannya atas campur tangan pemimpin DAP dan KeADILan pusat, tiga nama telah dicalonkan yang mewakili DAP, KeADILan dan PAS. Wakil ketiga-tiga parti bersepakat untuk menerima siapa jua calon yang diperkenan istana.


Namun apabila nama Mohammad Nizar diperkenan istana, Penasihat DAP, Lim Kit Siang membantah dan mengugut untuk memboikot majlis ngkat sumpah jawatan MB.


Bagaimanapun, selepas kira-kira tiga jam perbincangan di antara pihak PAS yang diketuai saya dengan DAP yang diketuai Pengerusi DAP negeri, Ngeh Koh Ham, pemimpin DAP pusat bersedia mengubah pendiriannya dengan mengenakan syarat supaya DAP diberi 8 jawatan Exco dan PAS berjanji tidak melaksanakan hukum hudud dalam kerajaan campuran ini.


Bagaimanapun syarat-syarat itu gugur kira-kira jam 11 malam setelah wakil PAS dan DAP dititah menghadap Tuanku di Istana Kinta. DAP akhirnya bersetuju dengan perlantikan Menteri Besar dari PAS dan akan hadir dalam Upacara Angkat Sumpah esok harinya di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, bahkan setuju akan memohon ampun dari pihak istana. Yang paling penting syarat yang mereka kenakan iaitu 8 Exco dan isu hudud gugur dengan sendirinya.
Persetujuan mengenai pengguguran syarat ini disampaikan sendiri Setiausaha DAP Perak, Nga Koh Meng kepada Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang.


Bagaimanapun Upacara Angkat Sumpah MB yang dijadualkan pada jam 4 petang akhirnya dibatalkan oleh pihak istana kira-kira 2 jam sebelum ianya dilangsungkan. Ia berpunca dari bantahan saat-saat akhir KeADILan kononnya mereka hanya diberikan satu kerusi Exco padahal pada kira-kira jam 10 pagi, pemimpin KeADILan Perak telah pun dimaklumkan yang mereka akan mendapat 3 kerusi Exco dan PAS hanya 1, manakala DAP memperolehi 6 bukannya 8. Entah di mana silapnya KeADILan pusat beranggapan mereka hanya diberikan satu kerusi Exco sahaja.


Ekoran dari pembatalan itu, pihak istana menitahkan supaya setiap 31 orang Adun daripada ketiga-tiga parti menandatangani surat perakuan masing-masing bahawa mereka menyokong penubuhan kerajaan campuran yang dimuafakatkan dan bersetuju atas pelantikan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.


Mohammad Nizar kemudiannya dilantik secara rasmi sebagai Menteri Besar di Istana Iskandariah pada 17 Mac jam 10 pagi. Turut hadir di majlis angkat sumpah jawatan ialah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli. Lim Kit Siang turut hadir dan kemudianmya berkesempatan menghadap Tuanku Raja Muda memohon ampun kepada baginda.


Menjalin hubungan mesra dengan istana.


Sejak hari pertama rombongan ketiga-tiga parti menghadap Tuanku Raja Muda di Istana Kinta, sungguh terasa mesra hubungan dengan Tuanku Raja Dr Nazrin Shah. Selepas memperkenalkan diri kepada baginda, baginda berbual menanyakan latar belakang saya. Apabila saya memberitahu mendapat pendidikan dari Maahad Al-Ehya' Ash-Shariff Gunung Semanggol di bawah asuhan Almarhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, baginda menjelaskan begitu tertarik dengan peranan para ulama Perak dalam memperjuangkan kemerdekaan.


Ketika menuntut di Universiti Harvard, baginda juga pernah melakukan penyelidikan tentang peranan beberapa orang ulama Perak. Raja Dr Nazrin kemudian banyak bertanya tentang latar belakang Ir Mohammad Nizar yang mendapat ijazah Sarjana Kejuruteraan dari UK.


Hubungan terus terjalin melalui beberapa pertemuan dengan pihak istana ketika menghadapi saat-saat kritikal mengenai perlantikan MB dari parti PAS. Persefahaman mudah dicapai kerana Istana Perak dianugerah Allah SWT seorang Raja yang arif dalam bidang undang-undang sebagai seorang bekas Ketua Hakim; manakala Raja Muda memiliki daya intelektual yang tinggi dengan memiliki doktor falsafah di bidang sains politik.


Kelebihan istana ini dipertemukan Allah pula dengan pimpinan tertinggi PAS Perak yang mempunyai pandangan politik yang luas dan berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran. Salah satu bukti begitu mesranya hubungan istana dengan Ir Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar adalah penganugerahan darjat kebesaran Pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Perak dengan gelaran Dato' Seri belum pun sampai sebulan menjawat jawatan Menteri Besar. Begitu juga Pengerusi DAP negeri Perak, Ngeh Koh Ham yang dianugerahkan gelaran Dato'.


Memenangi hati para pemimpin parti rakan Pakatan Rakyat


DAP sebelum PRU12 dilihat sebagai parti yang tidak begitu sehaluan dengan PAS. Bagaimanapun selepas PRU12 dan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, pemimpin DAP bukan sahaja mudah bersefahaman dan mesra dengan pemimpin PAS di peringkat negeri, bahkan sentiasa menghormati pandangan pemimpin PAS sama ada mereka yang berada di dalam atau di luar kerajaan.


Saya sendiri dapat melihat bagaimana Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Koh Ham berterus terang menyatakan dokongannya kepada pimpinan PAS dan sangat kagum dengan pimpinan Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Perkara ini dinyatakan sendiri kepada Tok Guru ketika lawatan pemimpin kerajaan Perak ke negeri Kelantan baru-baru ini.


kejayaan PAS menarik sokongan rakyat bukan Melayu


Pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS begitu menarik perhatian rakyat. Dalam suasana pihak-pihak tertentu terutama Umno yang cuba mempersoalkan kewibawaan kerajaan Pakatan Rakyat, ternyata rakyat Perak memberikan sokongan kuat kepada kerajaan yang baru dibentuk. Rakyat bukan Melayu memberikan sanjungan atas kewibawaan Menteri Besar Perak.


Dalam masa sebulan selepas PRU12, hampir setiap hari berita mengenai Mohammad Nizar tersiar dalam media berbahasa Tionghua. Ceramah perdana pertama di Stadium Perak anjuran Pakatan Rakyat sebaik sahaja kerajaan negeri dibentuk adalah antara bukti awal sokongan rakyat. Stadium itu penuh sesak dengan orang-ramai untuk mendengar ceramah lima pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat.


Mengubah anggapan hanya Umno dan BN layak memerintah


Diayah seumpama ini sudah seperti diterima sebagai satu khurafat atau kepercayaan karut yang menyelubungi pemikiran sebahagian orang Melayu khasnya di luar bandar.


Kejayaan Pakatan Rakyat yang diterajui AS berjaya memecahkan tembok kepercayaan karut itu sehingga menyebabkan suatu kejutan budaya kepada pimpinan UMNO-BN Perak. Kemenangan enam Adun PAS yang membawa kepada enam kemenangan berikutnya menjadikan kedudukan PAS Perak begitu penting dalam membawa perubahan kepada landskap politik negara pasca PRU12.


Enam saranan


Bagi mempertahankan kemenangan 6+6 ini, saya menegaskan dalam ucapan di hadapan kira-kira 700 orang pemimpin PAS Perak pada malam tersebut bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan tugas kewajipan yang besar untuk dilaksanakan, antara lainnya:


1. Betapa pentingnya PAS diperkasa kerana hanya dengan kekuatan PAS, segala gerak kerja parti dan kerajaan akan berhasil.


2. Mindset ahli-ahli PAS di semua peringkat mesti berubah. Mereka mesti berfikir bahawa mereka bukan lagi sebagai pembangkang tetapi sebagai kerajaan. Justeru, mereka perlu menunjukkan sikap adil, bijaksana dan rendah diri. Mereka hendaklah berusaha menerangkan kepada rakyat berbilang kaum dan agama bahawa kerajaan baru Pakatan Rakyat adalah sebuah kerajaan yang adil saksama, beramanah, telus dan bermaruah.


3. Ahli PAS harus memperkukuh hubungan baik dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat serta menunjukkan sikap ramah mesra dan ambil peduli akan nasib rakyat di peringkat akar umbi. Jangan harapkan kerajaan saja untuk ambil peduli nasib rakyat berbilang kaum, tetapi pendokong PAS sendiri mesti menunjukkan sikap prihatin terhadap mereka.


4. Menerusi Program Khidmat Masyarakat wakil rakyat PAS, pendokong PAS boleh membantu memberitahu dasar kerajaan baru Perak yang sangat prorakyat. Wakil rakyat PAS harus sentiasa mesra rakyat, sentiasa peduli dengan nasib rakyat berbilang kaum dan agama.


5. Program tarbiyah, mesti menekankan aspek pengukuhan pengisian kemenangan (tamkin), iaitu melaksanakan idealisme atau cita-cita kita hendak melaksanakan kerajaan yang adil, telus, berkebajikan dan beramanah, sesuai dengan manifesto PAS.


6. Untuk memperkukuh aspek tarbiyah, usrah cawangan dan kawasan hendaklah diadakan sekerap mungkin, di samping program bulanan liqaaul fikri peringkat negeri diadakan.
Pada akhir program malam tersebut Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin menyampaikan taklimatnya dengan mesej menyeru semua pihak bersama membantu menjayakan kerajaan baru Perak Darul Ridzuan.

- tajdid

Monday, June 2, 2008

JANGAN BAKAR JAMBATAN LEPAS ITU BERPANTUN MEMBINA JAMBATAN BARU... SIAPAKAH YANG DIMAKSUDKAN OLEH KJ


"Jangan bakar jambatan lepas itu berpantun membina jambatan baru" Khairy Jamaludin


SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak berita tentang keahlian UMNO. Ada yang memohon menjadi ahli dan ada juga yang tidak mahu lagi menjadi ahli.

Dalam semua kes terkini, individu-individu terbabit pernah menjadi pemimpin UMNO sama ada pada peringkat tertinggi mahupun di peringkat akar umbi. Yang pasti, UMNO semakin menjadi rumah persinggahan yang boleh dikeluar masuk sesuka hati. Ada yang keluar hari ini dengan meletakkan pelbagai syarat sebelum kembali.
Ada yang masuk semula kerana sudah yakin dengan perubahan yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri dalam perkara-perkara tertentu seperti pemulihan sistem kehakiman negara dan rombakan kepada Badan Pencegah Rasuah setelah begitu lama berada dalam parti pembangkang dan mengutuk segala tindakan UMNO.
Apa yang pasti, kita tidak boleh memaksa mana-mana pihak menyertai UMNO. Mereka perlu masuk secara sukarela atas kesedaran bahawa perjuangan demi agama, bangsa dan negara masih lagi merupakan gagasan politik yang paling relevan di Malaysia.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak keluar dari UMNO. Kita boleh memujuk mereka untuk berfikir semula, tetapi jika mereka tidak lagi mempunyai komitmen kepada perjuangan UMNO, mereka akan tetap dengan pendirian mereka.
Bagi saya, keahlian UMNO tidak boleh bersyarat. Kita tidak boleh kata kita hanya mahu menjadi ahli UMNO jika pemimpin tertentu menjadi Presiden parti. Ini langsung membelakangkan institusi kepimpinan parti, menafikan proses demokrasi dalaman dan menghina slogan UMNO iaitu "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat".
Parti kita ada proses pemilihan tersendiri. Kalau tak suka kepada pemimpin proses ini perlu diguna untuk mencapai perubahan. Bukannya dengan tindakan keluar parti yang boleh menganggu kestabilan UMNO dan menguntungkan pembangkang.
Ada juga yang kata proses pemilihan parti tidak demokratik kerana ada "kuota" kelayakan bagi pencalonan jadi tidak ada pilihan lain dari keluar parti. Tanya dulu, bilakah sebenarnya UMNO memperkenalkan sistem "kuota" pencalonan ini? Apa sebabnya? Kita mesti jawab soalan-soalan ini terdahulu sebelum membuat apa-apa tuduhan. Jangan kita buta sejarah.
Kepada mereka yang ingin "kembali ke pangkal jalan" saya ucapkan selamat kembali. Jangan sia-siakan peluang kedua menjadi ahli parti keramat ini. Buktikan kesetiaan dan keikhlasan anda kepada UMNO tanpa memikirkan apa-apa jawatan.
Masih ramai yang bersyak wasangka terhadap tindakan anda. Ada yang kata tindakan ini ibarat hadiah kuda Trojan yang diguna oleh tentera Sparta untuk menewaskan Kerajaan Troy. Hadiah kuda ini akan masuk UMNO dan menunggu masa sesuai untuk membuka pintu kepada mantan towkay mereka untuk kembali.
Ada juga yang berspekulasi bahawa kuda hadiah ini adalah kerja saya yang berpakat dengan Saudara Ezam Mohd Nor dengan "grand design" tertentu.
Saya ingin menyatakan bahawa saya langsung tidak terlibat dengan permohonan Saudara Ezam untuk menjadi ahli UMNO semula. Walaupun saya kenal beliau, saya tidak mainkan pernanan malah tidak tahu menahu tentang "kemasukan" semula beliau dalam UMNO. Tapi bagi sesetengah pihak, tidak ada perkara yang saya tidak tahu di Malaysia dan semua kejadian adalah kerja saya. Kalau ada hujan petir atau ribut taufan, itu pun dikatakan kerja KJ!
Saya faham penafian saya ini tidak cukup untuk memuaskan kaki spekulasi (penyangak) politik. Pada mereka, siasah tanahair lebih menarik jika benar saya adalah "mastermind" dan Saudara Ezam merupakan hadiah kuda yang akan membawa Dato' Seri Anwar Ibrahim masuk semula dalam UMNO.
Inilah senario yang dicanang oleh mereka yang menangguk di air keroh dengan tujuan untuk mencetuskan kekecohan dalam parti. Inilah yang menjadi senario idaman mereka supaya perasaan syak mereka terhadap saya yang sering dikaitkan dengan Dato' Seri Anwar dapat disahkan.
Malang sekali mereka tidak mengenali saya. Bagi saya, Dato' Seri Anwar sudah tersimpang jauh dari perjuangan kebangsaan yang tulen. Beliau tidak akan dapat apa-apa sokongan malah simpati dari saya. Jika kemasukkan Saudara Ezam bertujuan untuk memenuhi strategi hadiah kuda Trojan, saya adalah orang pertama yang akan membakar kuda tersebut.
Prinsip saya dalam politik adalah mudah. Jangan lompat parti. Jangan bakar jambatan lepas itu berpantun membina jambatan baru. Jangan meletakkan syarat kepada keahlian parti, lebih-lebih lagi UMNO. Sebab sekali kita lompat, selama-lamanya kita akan dipandang serong seolah-olah seekor hadiah kuda.
Sumber: KLPos.com

HAK RAKYAT PERAK UNTUK TAHU KE MANA RM 8 JUTA ITU...MB PERAK

IPOH: Kerajaan Negeri Perak tidak berhasrat mencari kesalahan apabila membangkitkan isu peruntukan RM8 juta yang dibelanjakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bekas exco Barisan Nasional (BN) dalam tempoh dua bulan sebelum pilihan raya umum Mac lalu, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah mengenai perincian projek-projek kecil dan kosnya untuk mendapat justifikasi perbelanjaan berkenaan. Katanya kerajaan negeri bukannya ingin menyalahkan kepemimpinan sebelum ini atau menghadapkan mereka ke mahkamah, tetapi hanya ingin tahu perincian dalam perbelanjaan itu.

"Dalam dua bulan setengah, apa jenis perbelanjaan mereka, jelaskan. Kita bukan nak kata mereka salah. Cuma senaraikan perbelanjaan dan masyarakat akan lihat perbelanjaan RM8 juta dalam dua setengah bulan, kita bukan nak dakwa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan di sini hari ini.

"Rakyat Perak berhak tahu kerana wang RM8 juta itu duit rakyat. Apa yang mereka belanja, Untuk apa? Kalau buat jambatan kecil, menurap jalan atau membaiki bangunan, kita tak persoal. Itu hak rakyat. Memang sewajarnya dibelanjakan," tambahnya.

Beliau berkata jika Adun dan exco BN menjelaskan perbelanjaan berkenaan, maka rakyat sendiri boleh menilai sama ada nilai projek berkenaan setimpal dengan jumlah yang diperuntukkan.

Menteri Besar juga berkata walaupun dana RM8 juta itu habis dibelanjakan oleh Adun dan bekas exco terdahulu, kerajaan negeri masih mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi melaksanakan projek pembangunan di Perak.

Jumaat lalu, Kerajaan negeri Perak meminta kerajaan BN yang memerintah negeri sebelum ini supaya menjelaskan kepada rakyat mengenai dana pembangunan RM8 juta yang dibelanjakan dalam masa dua bulan sebelum pilihan raya umum.

Exco Kanan Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air serta Hal-ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata kerajaan negeri sangat terkejut dengan cara peruntukan RM75,000 untuk setiap Adun dan tambahan RM100,000 untuk exco itu dihabiskan kerana dana berkenaan bagi projek kecil.

Ekoran kenyataan itu, bekas anggota Exco kerajaan negeri sebelum ini, Datuk Ramly Zahari berkata, peruntukan RM8 juta yang dibelanjakan itu adalah dana kerajaan Persekutuan yang diluluskan pada Oktober 2007 dan ia dibelanjakan dengan sah kerana peruntukan kerajaan pusat dibenarkan dibawa ke tahun berikutnya untuk dimanfaatkan bagi menyiapkan projek-projek kecil.

ULASAN ISU BAJU KURUNG SEKOLAH PEREMPUAN...

"Apa pendapat saudara tentang isu baju kurung sekolah perempuan?"
Saya mengerutkan dahi dan kemudian bertanya kepadanya semula. "Pendapat yang bagaimana yang kamu hendak? Menyokong atau membantah?"
"Erm. Saya ada baca tiga pendapat yang berlainan. Satu daripada yang mengutarakan isu iaitu HEWI PKPIM. Pihak kedua adalah Muslimat PAS yang kelihatan menyokong tetapi pendapat ketiga adalah daripada Wanita JIM yang nampaknya membantah cadangan tersebut.
"Saya menarik nafas panjang-panjang dan melepaskan perlahan-lahan. Betul, baru semalam juga saya membaca pendapat Wanita JIM tersebut di emel saya. Saya cuba menyusun semula pendapat-pendapat yang diutarakan oleh tiga pihak ini.
"Baju berwarna putih sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ. Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan." –Munirah Bahari(HEWI PKPIM)
"Kita tidak dapat menafikan bahawa material (bahan) kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya apabila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka." –Muslimat PAS
"Baju kurung seragam berwarna putih telah sekian lama dipakai tanpa menimbulkan sebarang masalah. Masalah sosial dan gejala seksual yang semakin meruncing di kalangan pelajar sebenarnya berpunca dari krisis nilai, hakisan pegangan agama dan moral yang sedang hebat melanda masyarakat kini," –Dr. Harlina Siraj(Wanita JIM)
Fokus pada persamaan
Setiap pihak ada hujah mereka sendiri dan kesemua hujah tersebut adalah betul mengikut pengalaman dan perbincangan lanjut di antara mereka(dalam kumpulan). Beberapa blogger awal-awal lagi sudah menghukum Wanita JIM sebagai tidak sehaluan, bermasalah dan sebagainya.
"Jadi kamu pening memilih mana satu pendapat?" Saya tersenyum sendirian sambil menghadap monitor komputer.
"Ya!"
"Kalau begitu, bagi saya ketiga-tiga pendapat adalah betul dan ketiga-tiganya sekali saya terima."baju kurung sekolah
"Bagaimana saudara boleh menerima ketiga-tiga pendapat tersebut?" soalnya.
"Cari persamaan bukannya perbezaan."
Bersatulah kamu semua di atas tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali-Imran : 103)
Dalam menilai setiap pendapat, apa yang perlu kita utamakan terlebih dahulu adalah persamaan yang wujud. Bukannya mencari perbezaannya dan kemudian menghentam satu pihak yang kelihatan pendapatnya tidak kena dengan jiwa kita.
Pendapat diutarakan berdasarkan pengalaman
"Aduh, naif sungguh pendapat ini. Malang bagi mereka kerana tidak dapat mengembangkan perbincangan mereka kepada perkara yang lebih praktikal!" Ujar seorang blogger, menafikan pendapat Dr. Harlina Siraj.
"Mungkin juga beliau terlupa bahawa beliau dikelilingi oleh golongan-golongan yang memang berpakaian baik dan berfahaman tinggi tentang garis panduan pemakaian, maka suatu undang-undang tidak lagi diperlukan." Ujarnya lagi.
Seperti yang telah saya tulis pada awal entri ini lagi. Setiap pihak apabila mengeluarkan pendapat kepada media dengan menggunakan nama kumpulan masing-masing sudah tentunya telah membuat perbincangan sesama mereka.
Saya mengenali Wanita JIM dengan pelbagai usaha mereka dalam membentuk kesedaran dengan pelbagai program. Begitu juga dengan HEWI PKPIM dan Muslimat PAS. Mereka mengutarakan pendapat mereka mengikut hasil perbincangan dan pengalaman setiap kumpulan masing-masing.
Saya meminta agar setiap pendapat mereka dibaca dengan teliti. Bukan baca dengan cara scanning dari atas ke bawah sahaja dan kemudian terus membuat penilaian. Kadang-kadang ada perkara penting yang kita terlepas pandang.
Apa persamaan antara tiga pendapat ini
HEWI PKPIM mengutarakan pendapat supaya warna baju tersebut ditukar kerana kelihatan seksi.
Muslimat PAS pula berpendapat isunya bukanlah warna baju tetapi jenis kain yang digunakan.
Wanita JIM pula mengutarakan pendapat yang hampir sama dengan Muslimat PAS, baju kurung berwarna putih tidak perlu ditukar. Tetapi pendedahan tentang ajaran Islam, moral dan pegangan agama yang kukuh yang perlu diberi perhatian.
Apa yang salah pada ketiga-tiga pendapat ini? Semuanya saling berkaitan. Kalau hendak dikatakan Wanita JIM menolak cadangan HEWI PKPIM tersebut, kenapa tidak berkata begitu juga kepada Muslimat PAS?
Kita perhatikan lagi pendapat ketiga-tiga pihak ini.
"Jika kementerian ingin mengekalkan seragam warna putih, katanya, PKPIM mencadangkan pelajar perempuan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung yang labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat." –Malaysiakini. com
"Aiman Athirah Al Jundi(Muslimat PAS) berkata isunya bukan warna baju pelajar itu tetapi jenis kainnya yang jarang dan menarik perhatian." –Malaysiakini. com
"Namun tidak dapat dinafikan, hari ini terdapatnya segelintir pelajar sekolah yang tidak mematuhi norma-norma serta etiket cara berpakaian yang sewajarnya. Berpakaian seragam baju kurung putih yang agak jarang tanpa memakai pakaian dalam / camisole atau tudung yang sempurna, akan menampakkan baju dalam dan susuk tubuh yang tentunya kurang sesuai dan tidak manis dipandang mata di khalayak umum." –Wanita JIM
Jadi, nilailah pendapat ketiga-tiga pihak ini dengan sewajarnya. Jika diperhatikan, tiada perbezaan yang besar pun antara ketiga-tiga pendapat. Semuanya tetap menginginkan yang terbaik buat generasi yang datang. Perkara paling pokok dalam isu ini adalah beri kefahaman kepada remaja dan juga ibu bapa tentang adab menutup aurat.
Kesimpulan
Saya amat berharap jika Muslimat PAS, ABIM dan Wanita JIM dapat berkumpul dan duduk berbincang jika ingin isu ini berakhir dalam keadaan yang baik. Pihak lain juga tidak perlu melenting tanpa sebab terhadap isu ini.
Kalau pada pendapat saya sendiri pun, isunya bukanlah warna kain tetapi jenis kain yang digunakan. Mungkin kementerian boleh membuat rombakan terhadap jenis kain yang dijual di kedai untuk kegunaan bagi membuat baju seragam sekolah perempuan.
Bagi pihak HEWI PKPIM, mungkin mereka boleh buat pungutan suara secepat mungkin dalam kalangan pelajar sekolah termasuk pihak pentadbiran sekolah. Pihak-pihak lain pula boleh memperhebatkan lagi program-program kesedaran tentang menutup aurat.
Teringat kata-kata kawan sekolah rendah saya, "Baju pengawas sekolah berwarna biru pun ada yang jarang juga."
Hak cipta terpelihara © StudioMuslim. com (2007 – 2008)
Azree Hanifiah
penulis merupakan ahl-baytul fareed :)
juga ajk karisma international
------------------------------------------------
Wan Abdullah Mujahid bin Hasanuddin
Pengerusi Karisma International2nd Year
Ahmad Ibrahim Kulliyyah Of Law (AIKOL)
012-2076797