CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, May 29, 2008

NAKBAH PALESTIN: SALAHUDDIN PERLU DITELADANI... ZAINUDIN HASHIM

Negara Palestin sering dikaitkan dengan wilayah-wilayah yang masyhur seperti Baitulmaqdis (Jerusalem), Gaza dan Baitullahm yang merupakan tempat terpenting dan melakar sejarah tersendiri kerana pelbagai peristiwa, kisah, agenda tertentu melandanya.

Apatah lagi wujud Masjid al-Aqsa dalam jajahan Baitulmaqdis yang disebut oleh al-Quran berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum ditukar ke arah Masjidilharam.

Kerana pentingnya Masjid al-Aqsa, maka Panglima Salahuddin al-Ayubi rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk membebaskannya daripada cengkaman dan penaklukan tentera Salib yang diketuai 'Raja Richard the Lion Heart' dari England bersama tentera-tentera Eropah lain seperti Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol.

Walaupun beliau (Salahuddin) bukan daripada keturunan bangsa Arab, isu Masjid al-Aqsa tidak dianggapnya isu bangsa malah isu agama kerana ia adalah kiblat pertama orang Islam.

Beliau telah berjaya menarik minat dan memikat hati banyak pihak khususnya di kalangan bangsa Arab untuk menyertainya dalam satu pakatan tentera Islam mengusir keluar tentera-tentera Salib dari bumipada Anbiya' itu.

Siapakah sebenarnya Salahuddin?

Beliau adalah Salahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub, lahir pada 532 Hijrah/1138 Masihi di Tikrit, Iraq daripada rumpun bangsa Kurdis, meninggal pada tahun 589 Hijrah/1193 Masihi di Damsyik.

Pengasas Daulah Ayyubiah dan bergelar Sultan Salahuddin, seorang pahlwan Islam yang paling gagah berani dalam Perang Salib dan berhasil merebut kembali Baitulmaqdis daripada tangan tentera Salib Kristian.

Persoalannya, mengapakah suatu ketika dahulu 'Salahuddin Al-Ayubi' bersama tentera Islam bermati-matian mempertahankan Baitulmaqdis ketika diserang oleh tentera Salibiah Eropah sedangkan beliau sendiri bukan rakyat Arab Palestin, beliau adalah daripada keturunan Kurdis, satu bangsa yang mendiami utara Iraq yang bersempadan dengan Turki.

Beliau berjaya menumpaskan serangan tersebut, malah berjaya menghalau saki baki tentera Kristian itu daripada bumi Palestin.

Apakah yang mendorong beliau bertindak demikian, dan tidak menyerahkan urusan mempertahan kota Baitulmaqdis itu kepada rakyat Palestin untuk mempertahankan tanah air mereka sendiri?

Sebaliknya Salahuddin ketika pada penghujung hayatnya telah berpesan supaya segala pakaian penuh berdebu yang digunakan semasa berperang, agar dimasukkan di dalam liang kubur dan ditanam bersama jenazahnya dengan tujuan supaya menjadi saksi bahawa beliau telah menghabis segala tenaga dan fikiran untuk mengetuai tentera Islam bagi mempertahankan Baitulmaqdis daripada serangan tentera Kristian Eropah.

Sesungguhnya yang mendorong Salahuddin bertindak demikian adalah kerana kesedaran yang tinggi untuk mempertahan kota suci iaitu kota yang telah menemukan Nabi Muhammad s.a.w. dengan para anbiya' yang lain, khususnya dalam peristiwa Israk Mikraj.

Sebagai seorang Islam beliau berkeyakinan bahawa apabila bumi suci Baitulmaqdis itu diganggu oleh golongan kuffar, adalah menjadi kewajipan kepadanya dan juga umat Islam seluruhnya bangun untuk mempertahankan atau membebaskan bumi tersebut dari cengkaman musuh Allah SWT itu, tidak kira sama ada mereka orang Palestin ataupun bukan.

Empat puluh tahun selepas peristiwa itu, Lord Olenby yang mengetuai pasukan Salibiah berjaya memasuki semula kota Baitulmaqdis, dia pergi ke kubur Salahuddin dan menginjakkan kakinya ke atas kubur Salahuddin sambil berkata: "Sekarang aku datang semula ke sini."

Alangkah baculnya ketua tentera Salibiah itu, dia hanya berani berdepan dengan Salahuddin yang telah mati, dengan mesej bahawa pihak Salibiah sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam.

Bagi Salahuddin, beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya mempertahankan kota suci terletaknya Masjid al-Aqsa yang mulia, tempat Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan solat dua rakaat dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Tanggal hitam 15 Mei 1948

Pada tarikh ini, genaplah usia 60 tahun Palestin ditakluk, betapa malunya kita sebagai umat Islam hari dengan kelengkapan serba serbi peralatan persenjataan masih tidak terdaya membebaskan bumi Palestin, malah Masjid al-Aqsa juga dikuasai rejim Yahudi.

Kalau dilihat dari sudut logik akal manusia, negara Israel dilingkungi beberapa negara Arab yang kaya dengan senjata minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Lubnan, Bahrain, Oman, Yaman dan sebagainya sepatutnya pada 1948, orang-orang Arab berjaya menghalang penubuhan negara haram itu, namun ia tidak berlaku.

Sebabnya, para pemimpin Arab hanya banyak menganjurkan persidangan menjaga kepentingan mereka daripada memikirkan keselamatan rakyat bangsa Palestin yang ditindas, dianiayai, dinafikan hak mereka sepanjang 60 tahun, iaitu satu jangka masa yang begitu lama mengatasi usia Malaysia merdeka (51 tahun).

Imam Syahid Hasan al-Banna pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin pernah mengemukakan pandangannya kepada Perdana Menteri Mesir pada masa itu, Noqrashi Basha agar membantu rakyat Palestin dengan menghantar pasukan tentera ke Palestin bagi menghadapi segala kemungkinan agar kuasa asing tidak bertapak di kawasan yang diduduki bangsa Arab, apatah lagi beragama Islam.

Pandangannya itu bukan mahu membangkitkan isu kebangsaan, malah kebimbangannya terhadap pengaruh bukan Islam akan masuk ke dalam negara-negara yang dihuni oleh orang Arab.

Noqrashi menolak pandangannya itu malah bertindak mengharamkan segala aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan tidak berputus asa dan mengerahkan unit pasukan jihad gerakan itu supaya pergi ke Palestin bertujuan untuk membantu rakyat negara itu, walau bagaimanapun tentera-tentera yang dihantar itu ada yang mati syahid dan ada yang sempat pulang semula ke Mesir dengan pelbagai kesusahan yang menanti mereka.

Kejatuhan Palestin di tangan Israel disifatkan oleh Imam Hasan sebagai satu kesilapan dan pengkhianatan besar ke atas rakyat Palestin yang beragama Islam.

Selang tidak berapa lama selepas kejatuhan Palestin, pada 12 Februari 1949, Imam Hasan ditembak mati secara misteri tanpa seorang pun yang tahu kejadian itu hingga ahli keluarganya juga tidak dapat mengesan di manakah jenazahnya di kuburkan hingga hari ini.

1948 dikenali sebagai tahun perang Arab-Israel

Perang Arab-Israel 1948, dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel.

Bagi orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk daripada bahasa Arab sebagai 'Al-Nakba' yang bermaksud 'malapetaka', perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.

Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab.

Mandat British terhadap Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei.

Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.

Pada akhir Mei 1948, 6000 tentera Syria, 4500 Iraq, 6000 Transjordan, 1000 Lubnan dan 5000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir.

Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmaqdis Barat.

Dalam perjanjian gencatan senjata, Semenanjung Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah mandat British terhadap Palestin dahulu yang lain menjadi Israel.

Tragedi Sabra dan Shatila

Umum di kalangan umat Islam mengetahui, bahawa Yahudi adalah satu bangsa yang paling jahat di dunia, justeru Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam salah satu hadisnya yang bermaksud: Tidak akan boleh dua agama berada dalam satu negara (ia merujuk kepada Semenanjung Tanah Arab iaitu antara Islam dan Yahudi).

Pada zaman pemerintahan Sayidina Omar bin al-Khattab, beliau telah mengusir saki baki etnik Yahudi yang masih tinggal di Madinah, ekoran daripada peristiwa pengusiran itu, maka bangsa Yahudi tidak ada sebuah negara khusus, ada di kalangan mereka yang bertempiaran lari ke Eropah, Asia, Amerika dan benua Afrika yang dikenali sebagai Fallasyah.

Mereka menyimpan rasa dendam kesumat khususnya terhadap bangsa Arab dan agama Islam, justeru mereka akan perlakukan apa sahaja terhadap orang Arab tidak kira orang-orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak walaupun ia dianggap melanggar hak asasi manusia, sehingga hari ini kekejaman mereka tidak diseret ke mahkamah antarabangsa.

Penyembelihan Sabra (Shatila/Chatila) berlaku pada September 1982, di Beirut, Lubnan, dalam kawasan di bawah kawalan Israel, oleh Nasrani Lubnan sebagai bukti kekejaman mengatasi undang-undang.

Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyifatkannya sebagai 'penghapusan kaum (genocide)' - satu istilah yang mempunyai kesan perhakiman antarabangsa. Kebanyakan perdebatan bertumpu kepada tanggungjawab Israel.

Tuduhan terhadap Israel

Berita penyembelihan tersebut tersebar melalui media seluruh dunia. Berikutan kontroversi itu, pihak Israel membentuk Suruhanjaya Penyiasatan yang diketuai oleh bekas Hakim Agung Kahan.

Laporan tersebut termasuk bukti daripada kakitangan tentera Israel, termasuk juga tokoh politik, dan pegawai Phalange.

Dalam laporan ini, diterbitkan pada musim bunga 1983, Suruhanjaya menyatakan bahawa tidak terdapat bukti unit Israel terbabit dalam penyembelihan secara langsung, tetapi ia adalah sepenuhnya dilakukan oleh Elie Hobeika dan orang-orangnya.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Kahan merakamkan bahawa kakitangan tentera Israel telah menyedari mengenai penyembelihan yang berlaku beberapa kali tanpa melakukan sebarang tindakan serius untuk menghentikannya, dan juga laporan mengenai penyembelihan sedang berlaku dilaporkan kepada menteri Kabinet Israel.

Ia mencadangkan bahawa Menteri Pertahanan Israel pada waktu itu, Ariel Sharon berhenti atau dipecat dan juga mengutuk serta mencela beberapa pegawai perisikan dan tentera.

Yang lain tidak bersetuju dengan laporan tersebut.

Pembunuhan beramai-ramai itu bukan merupakan tindakan membalas dendam terhadap pembunuhan Bachir Gemayel yang dilakukan secara spontan tetapi merupakan satu operasi yang telah dirancang terlebih dahulu bertujuan memberi kesan terhadap perpindahan beramai-ramai rakyat Palestin daripada Beirut serta bahagian-bahagian lain di Lubnan.

Penglibatan Israel dalam pembunuhan terhadap rakyat Palestin telah mewujudkan satu corak perjuangan politik yang mengusutkan melalui tindakan keganasan massa terhadap orang awam, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Terbentuk Hamas bagi pembebasan al-Aqsa

Hamas adalah singkatan Harakat al-Muqawama al-Islamiyya, Gerakan Penentang Islam merupakan satu pertubuhan Islam Palestin yang ketika ini (sejak pilihan raya Januari 2006) parti berkuasa Pihak Berkuasa Palestin. Berikutan pilihan raya itu, pemimpinnya, Ismail Haniyeh telah dilantik menjadi Perdana Menteri Palestin.

Namun, pada 14 Jun 2007, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah membubarkan parlimen dan memecat kerajaan Palestin bersatu yang diketuai oleh Hamas akibat pertempuran antara Hamas dan Fatah di Gaza. Abbas telah melantik Salam Fayyad sebagai pengganti Ismail Haniyeh.

Hamas diasaskan oleh Syeikh Ahmed Yassin dari bahagian Gaza al-Ikhwanul al-Muslimun.
Sejak penubuhannya, Hamas telah melancarkan serangan terhadap penduduk Israel, negara yang menakluki wilayah Palestin.

Piagam Hamas menyeru supaya negara Israel dimusnahkan dan digantikan dengan sebuah negara Islam. Hamas sering menunjukkan sentimen anti-Israel dan berjuang untuk mengusir pihak Israel keluar dari Palestin melalui Jihad.

Dalam pilihan raya umum 2006, Hamas berjaya memenangi jumlah kerusi yang terbanyak dalam parlimen dan telah membentuk kerajaan baru.

Hal ini membuktikan populariti Hamas berbanding dengan Fatah yang dianggap tidak berkesan dan tidak berakhlak oleh penduduk Palestin. Hamas juga melaksanakan beberapa program kebajikan di wilayah Palestin, termasuk menabung sekolah, rumah yatim piatu dan klinik kesihatan.

Pertempuran antara kumpulan militan Fatah dan Hamas sejak pilihan raya Januari 2006 telah banyak berlaku, dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur dan kegawatan ekonomi.

Hamas dianggap sebagai pihak pengganas oleh Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, Israel, Jepun dan Kesatuan Eropah.

Selepas kemenangan Hamas dalam pilihan raya 2006, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah menyekat bantuan ekonomi kepada Palestin, demi memulaukan Hamas. Pada 8 Februari 2007, Hamas telah bersetuju mangagihkan kuasa antara pihak Hamas dan Fatah dengan harapan menghentikan sekatan itu.

Namun, Israel dan Amerika Syarikat masih tidak berpuas hati dengan penglibatan Hamas dalam kerajaan.

Pertempuran antara Hamas dan Fatah diteruskan sehingga Jun 2007, apabila Mahmoud Abbas membubarkan parlimen untuk melantik kerajaannya sendiri. Tindakan ini ditentang habis-habisan oleh Hamas.

Pada hari yang sama itu, militan Hamas berjaya menguasai seluruh Jalur Gaza dan menghancurkan pengaruh dan kuasa Fatah di kawasan tersebut.

Syeikh Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz Rantisi dibom hingga mati.

Bagi mengurangkan pengaruh jihad di kalangan rakyat Palestin, maka rejim Yahudi telah mengupah tali barutnya di kalangan rakyat dan bangsa Arab Palestin sendiri supaya memantau kegiatan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad Yasin, bukan sahaja pengasas Hamas, malah beliau dianggap sebagai pemimpin kerohanian yang membangkitkan semangat jihad menghadapi golongan Yahudi.

Risikan demi risikan melibatkan jangka waktu tertentu, hingga pada tarikh 20 Mac 2004, setelah selesai solat Subuh, Syeikh Ahmad keluar dari masjid dan satu serangan peluru berpandu dilancarkan dari bumi Israel menepati tubuh badan al-marhum Syeikh Ahmad yang menyebabkan beliau syahid di situ juga.

Pada 17 April 2004, giliran pemimpin Hamas, Dr Abdul Aziz Rantisi pula menemui syahid, apabila beliau dibedil oleh serangan helikopter yang menyebabkan beliau mati syahid, kepimpinan Hamas diterajui oleh Khaled Masy'al yang berada dalam buangan di Damsyiq, Syria hingga ke hari ini.

Nakbah 60 tahun Palestin perlu sambut perjuangan ulama

Sejarah Palestin telah mencatatkan beberapa individu di kalangan pahlawan dan ulama Islam yang tidak kurang penting untuk disambut sebagai membangkitkan cetusan jihad menentang musuh Allah yang tidak akan berkesudahan hingga berlakunya kiamat.

Nama-nama seperti Sultan Salahuddin al-Ayubi, Imam Syahid Hasan al-Banna, Syeikah Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz Rantisi perlu diajarkan kepada para remaja bagi mengembalikan kemuliaan Islam di dalam negara masing-masing bagi mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna.

SEHINGGA OGOS 2007, SERAMAI 74 ORANG DITAHAN DI BAWAH ISA

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Persidangan Dewan Rakyat, hari ini, diberitahu sehingga 29 Ogos 2007, terdapat 74 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting, Perak.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kesemua mereka ditahan di atas pelbagai kesalahan.

Dalam jawapan bertulis kepada Ismail Noh (PAS - Pasir Mas) dalam sesi soal jawab di parlimen berkata, jenis kesalahannya ialah Jemaah Islamiah, Daulah Islamiah, pemalsuan wang siling RM1.00, pemalsuan dokumen pengenalan, pemalsuan rakyat China, penyeludupan PATI, Gerakan Militan Selatan Thailand, pejuang pemisah empat wilayah dan pemisah selatan Thailand.

Beliau berkata, walaupun tindakan tegas diambil terhadap individu-individu yang dikenal pasti menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam, pihak kerajaan prihatin kebajikan para tahanan.

"Semasa berada dalam tahanan Orang Tahanan (OT) boleh membuat permohonan melalui pegawai penjaga Tempat Tahanan Perlindungan bagi mendapat bantuan kewangan," katanya.
Bantuan kewangan kira-kira RM200 akan disalurkan kepada keluarga OT setelah dipertimbang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Di samping itu, katanya bantuan dari segi sokongan moral, khidmat nasihat serta kaunseling turut diberikan kepada keluarga OT.

Sementara itu, Ismail dalam soalannya mengemukakan mengenai berapa ramai tahanan ISA yang masih ditahan di kem-kem tahanan di negara ini dan apakah kerajaan prihatin dengan anak-anak mangsa yang sedang bersekolah.

ADUN BN HABISKAN 90.1% PERUNTUKAN DALAM MASA DUA BULAN...MB SELANGOR

SHAH ALAM, 23 Mei (Hrkh) - Setiap wakil rakyat kerajaan BN Selangor diberi peruntukan tahunan sebanyak RM500,000 untuk kawasan masing-masing, namun apa yang menghairankan angka perbelanjaan setiap Dun menunjukkan jumlah yang sama.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mempertikaikan jumlah perbelanjaan setiap wakil rakyat BN, di antara RM492,800 dan RM529,800.

Beliau turut menyebut 54 Dun telah menggunakan peruntukan tahunan itu dalam tempoh yang singkat sebelum Mac 2008.

Menurut Khalid, di antara Dun yang membelanjakan sehingga RM529,800 ia ialah, Sri Setia, Kota Anggerik, Seri Andalas, Sementa, Sabak, dan Sungai Panjang.

Tambahnya, Dun yang membelanjakan sebanyak RM492,800 pula antaranya ialah Subang Jaya, Pelabuhan Kelang, Batu Caves, Pandan Maran, Seri Pinang, Lembah Jaya, Dusun Tua, Sepang, Dengkil, Ulu Selangor, Ulu Bernam, dan Sekinchan.

Katanya, Seri Kembangan, Serdang, Gombak Setia, Hulu Kelang, Taman Templer, Gombak, Kajang, Bangi, Chempaka, Hulu Langat, Bukit Antarabangsa, adalah antara yang telah membelanjakan kesemua peruntukan itu.

"Saya pun hairan, mengapa angka-angka peruntukan ini sama," celahnya semasa menjawab soalan yang dikemukakan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dalam sesi soal jawab pagi tadi.

Khalid juga memberitahu, jumlah keseluruhan peruntukan yang dibelanjakan oleh wakil rakyat BN itu kira-kira RM26.6 juta dan bakinya sehingga akhir Mac 2008 sebanyak RM2juta.
"Dari segi peratusan, sebanyak 90.16 peratus daripada peruntukan telah dibelanjakan," katanya.

Bagaimanapun, Khalid turut mempertikaikan Speaker Dewan Undangan Negeri yang bukan Adun telah membelanjakan RM600,000.

Justeru, beliau berkata, perkara itu harus dibincangkan di bawah Jawatankuasa Terpilih Akauntabiliti supaya dapat belajar bersama-sama bagaimana kegunaan wang itu dibelanjakan.

"Kita kena ambil serius tentang saranan Tuanku Sultan yang meminta kita berbelanja secara hemat dan berjimat demi masa depan rakyat Selangor," katanya.

ISLAM HADHARI JUGA MERUPAKAN PROGRAM POLITIK... USTAZ IDRIS AHMAD

Utusan Malaysia 28/5/08 melaporkan reaksi pemimpin Umno dan pendokong Islam hadhari mengenai tindakan kerajaan Selangor melarang program Islam Hadhari antaranya, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak "pengharaman Islam Hadhari tindakan politik, saya anggap dia (Hasan) tidak faham ataupun sengaja buat-buat tidak faham dengan konsep Islam Hadhari ini kerana pelaksanaannya langsung tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Mungkin dia berfikiran demikian kerana konsep ini dibuat oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN), kata Dato' Seri Khir Toyo Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Dato' Mohd Nakhaie Ahmad berkata, tindakan kerajaan Selangor itu merupakan perkembangan yang tidak sihat untuk politik negara dan orang Melayu. Tindakan kerajaan Selangor itu bukan sahaja menyekat usaha mendaulatkan Islam malah ia boleh mengelirukan rakyat Selangor mengenai konsep Islam Hadhari.Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato' Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, keputusan kerajaan campuran di Selangor yang berkuat kuasa serta merta semalam, dibuat tanpa memikirkan kebaikan dan manfaat rakyat secara keseluruhan.

Saya ingin menjelaskan bahawa Islam Hadhari ialah program penerapan nilai-nilai Islam kedua yang dijalankan oleh Dr Mahathir. Cuma di pakej semula dengan botol baru. Waktu diisytiharkan penerapan nilai-nilai Islam berlakunya zaman kebangkitan Islam abad ke-15. Kebangkitan rakyat Afghanistan menyerang Russia yang menceroboh Negara mereka. Mereka bangun dengan senjata iman dan kelengkapan yang serba dhaif. Waktu itu juga Revolusi Islam Iran yang berjaya menggulingkan regim Shah Iran di bawah kepimpinan seorang ulamak Al-Marhum Ayatollah Khomeini. Bahang kebangkitan ini juga menjalar di kalangan rakyat Malaysia, suara untuk menyeru pihak pemerintah supaya kembali kepada Islam yang syumul kedengaran segenap rantau. Terutama di kalangan generasi muda yang berada di kampus dalam atau di luar negeri.

Waktu itu Dr Mahathir atas nasihat pakar-pakar strategik telah melancarkan penerapan nilai-nilai Islam bagi membendung kebangkitan Islam. Beliau sedar arus ini tidak boleh dilawan kalau tidak ia akan hanyut di bawa arus. Maka beberapa program atas nama penerapan nilai Islam ditubuhkan antaranya mendirikan Universiti Islam Antara Bangsa, Takaful, Bank Islam, Kursus Bina Insan. Pada peringkat awal memang nampak hebat dengan adanya Slogan 'Bersih Cekap Amanah', 'Kepimpinan Melalui Teladan', mempercepatkan jam selama 30 minit untuk melihat dan mengejar kemajuan. Sebenarnya projek seperti ini diadakan ialah hendak melambatkan kebangkitan Islam sahaja dan perkara ini bukan menjadi matlamat asas mereka untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh. Ini hanya program politik untuk mengekalkan kuasa dan memperalatkan agama untuk memancing sokongan rakyat. Kenyataan Dr Mahathir dalam bukunya "The Malay Dilema" dalam halaman 15, membuktikan dakwaan ini "Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di di dalam pilihan raya yang akan datang"

Sedangkan Islam ialah agama Allah bukan ciptaan daripada mana-mana dogma manusia. Islam ialah Islam dan bukan lain daripada itu. Walaupun ada dalam tulisan orientalis barat yang cuba mengelirukan perkataan Islam dengan menyebut Muahmmadism seoalah-olah agama Islam adalah ciptaan Nabi kita Muhammad s.a.w. Malahan dalam tulisan mereka juga disebut dengan Muhammadan Law bukan disebut Islamic Law. Ini adalah mainan orientalis seolah-olah undang-undang ini adalah ciptaan Nabi Muhammad s.a.w.

Islam adalah agama yang tidak disandarkan pada individu tetentu. Tidak seperti agama Kristian dengan dikaitkan kepada Jesus Christ, Buddha disandarkan kepada Gautama Buddha. Demikian juga agama Zoroasterianism kepada Zoroaster. Islam juga tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat, seperti agama Yahudi yang dikenali dengan dengan Judaism yang berasal daripada nama tempat iaitu Jew (Judah Tribe) demikianlah dengan Hinduism yang dinisbahkan kepada nama tempat iaitu Indus yang kemudian bertukar sebutannya kepada Hindu. Tetapi Islam adalah dari Allah daripada acuan Allah (Siibgah Allah) dan bukan ciptaan mana-mana individu berdasarkan falsafah dan pemikiran manusia yang dangkal.

Apabila menyebut Islam Hadhari ialah Islam maju. Maka di sana sudah tentu ada di sana Islam mundur. Ini sudah tidak betul kerana menyamakan Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t, ada maju ada mundur. Ini mendatangkan fitnah kepada Islam yang suci. Kerana hakikat Islam sentiasa maju, yang mundurnya apabila terkeluar daripada landasan Islam. Begitu juga jika kita menyatakan ada Islam baik dan Islam jahat. Sedangkan Islam mesti baik kerana ia datang daripada Allah s.w.t yang memang sifat Islam tidak jahat, yang jahat ialah penganutnya bukan Islam. Begitu juga yang mundur adalah penganutnya bukan Islamnya. Jika kita melihat penganut Islam yang terlibat dengan rasuah, zalim, diskriminasi, menyalahgunakan amanah rakyat, berzina, minum arak, berjudi, kesemuanya ini bukan Islam yang mengajar tetapi penyelewengan penganutnya daripada Islam.

Pemimpin Umno/BN hanya memilih Islam Hadhari supaya dapat memilih Islam yang boleh beri laluan untuk maju, walaupun bertentangan dengan Islam dan akhlak Islam. Mereka mahu Islam ikut mereka bukan mereka yang mesti ikut Islam. Inilah yang terjadi pada Islam Hadhari. Ini adalah barang lama Umno yang di tukar jenama sahaja. Pada hakikatnya itulah Islam yang diamalkan dan diperjuangkan oleh Umno sejak penubuhannya lagi yang mahu Islam disesuaikan dengan kehendaknya.

Sebab itu apabila ada golongan yang mengajak dan menyeru supaya balik kepada Islam yang sebenar maka mereka menuduh ini kolot, jumud, tidak maju dan tidak bertamaddun. Pada mereka neraca Islam Hadhari ialah akal dan nafsu walaupun bertentangan dengan nas yang qatie. Allah mengharamkan arak kerana arak dan dadah merosakkan akal. Songsangnya Islam Hadhari menghabiskan wang berjuta ringgit untuk kempen "Tak Nak Merokok" tetapi tidak berani kempen "Tak Nak Arak". Islam Hadari yang penting maju tidak kira halal atau haram, fikir untung bukan apa yang Islam kata boleh atau tidak.

Islam Hadhari mengharamkan dadah kerana ia menjejaskan ekonomi bukan kerana ia larangan agama. Arak tidak diharamkan kerana tidak menjejaskan ekonomi, orang minum arak pada malam hari, pagi esok ia boleh bekerja, orang hisap dadah pada waktu malam, esok hari ia tidak boleh bekerja. Sebab itu mereka tidak kempen menentang minum arak macam mereka kempen anti rokok. Pengharaman arak ada nas yang qatie sedangkan rokok tidak ada nas yang qatei. Inilah songsangnya Islam Hadhari Umno. Apakah ini yang dimaksudkan Islam Hadhari berteraskan kepada Tauhid?. Seperti yang dimegah oleh golongan yang mendokong Islam hadhari.

Daripada dahulu lagi pemimpin Umno mewawarkan kita mesti maju. Dengan slogan carilah dunia jangan lupa akhirat. Sehingga ada orang agama dalam Umno ketika berbicara dalam Televisyen dengan menyebut kita perlu cari dunia kerana habuan dunia payah dan habuan akhirat senang. (Astaghfirullah)

Apabila kemajuan yang tidak berteraskan kepada Islam yang sebenar maka yang dikejar tidak dapat dan yang dikendung kecician. Ini dapat dilihat dengan keadaan pencapaian ekonomi bumiputera pada tahun 1970 ialah 2.4% meningkat pada tahun 1990 ialah 19.3% manakala tahun tahun 2000 telah menurun kepada 18.7%. Tanah rezab Melayu selepas merdeka ada 3 juta hektar pada tahun 1995 hanya ada 1.7 juta hektar. Inilah kemajuan yang disogok atas nama Islam ala Umno bukan bertambah baik malah bertambah mengucup. Kalau dulu kemajuan atas nama penerapan nila-nilai Islam, bersih cekap amanah gagal mencapai kemajuan. Manakala sekarang atas nama Islam Hadhari. Kalau tidak berjaya pula slogan ini ditukar pada Islam Had Hari pula. Kaya dengan slogan tapi isinya tidak ada.

Kesimpulan

Islam adalah Islam dan ia berdiri dengan sendiri tanpa perlu dikaitkan dengan yang lain. Al-Syahid Syed Qutb telah menulis "Al-Islam huwa al-Hadharah" yang menyebut memang Islam itu maju dan yang mundur apabila tidak melengkapkan diri sebagai Islam yang tulin. Jika kita melihat di zaman Rasulullah s.a.w yang telah membawa kemajuan kpada bangsa Arab walaupun sebelum baginda diutuskan orang Arab adalah bangsa nomad yang tidak maju dan dikalahkan oleh musuh-musuh mereka. Keadaan berlaku sebaliknya apabila baginda membawa Islam ke dalam masyarakat Arab, sehingga bangsa Arab terkenal sebagai bangsa yang bermarwah dan bertamaddun. Begitu juga di negara kita apabila kesultanan Melayu mengamalkan Islam yang sebenar maka kekuasaan Melaka telah menguasai dua pertiga kepulauan Melayu. Inilah yang sepatut direnung bukan mengambil Islam separuh dan meninggal Islam separuh. Sampai bila pun tidak maju, kalau pun maju, kemudian ia akan membawa kehancuran pada Negara dan bangsa seperti yang dialami di Amerika Syarikat sekarang penyakit HIV 2 hingga 3 orang dalam satu jam manakala di negara kita 13 jangkitan HIV dalam seminggu. (Mingguan Malaysia 3/10/04, hlm. 19). Kalau ini yang didamkan oleh pendokong Islam Hadhari, teruskan usaha kamu. Kami Pas dan penentang Islam Hadhari boleh melepaskan diri, dan sejarah akan menjadi saksi.
Wallahua'lam. - mns

EZAM AKHIRNYA KE UMNO JUGA... USTAZ IDRIS AHMAD

Dengan rasmi Ezam memohon masuk Umno pada 28/5/08. Borang diserah sendiri pada Dato' Seri Abdullah Badwi di Bangunan Parlimen. Pelik, tapi itu yang berlaku pada saudara Ezam yang saya kenali rapat dan saya kagum dengan stail kepimpinan beliau.

Beliau sanggup di ISA, dipenjara kerana OSA. Satu ketika dulu menurut Tun Musa Hitam beliau matang waktu muda kerana kehebatan beliau waktu memimpin gerakan PKR.

Namun beliau telah membuat keputusan sendiri untuk menyertai Umno dalam keadaan Umno sudah tidak laku, terutama di kalangan generasi siber.

Tidakkah beliau terfikir kawan-kawan beliau yang balik menyertai Umno seperti Roslan Kassim, Zaid Mat Arif, Hamdan Taha, Hanafiah Man dan lain-lain lagi. Di manakah mereka sekarang ini dalam persada politik Umno.

Saya cuba merayu beliau melalui SMS supaya jangan masuk Umno. Beliau membalas kepada saya jam 2.10 pagi 26/5/05 ketika saya dalam perjalanan pulang berceramah di Selinsing Perak. SMS beliau menyatakan sudah final untuk ke UMNO dan ada agenda tersendiri.

Apabila mengingatkan kehebatan beliau tiba-tiba beliau masuk Umno. Maka di sini kita perlu mengambil pengajaran bersama;

1.Doalah selalu supaya kita mati dalam perjuangan Islam seperti yang diajar oleh nabi kita Muhammad s.a.w "Wahai hati yang berbolak balik, tetapkanlah hati dalam agamamu".

2. Perjuangan biarlah jelas, bukan untuk agenda peribadi mana-mana pihak.

3.Sering muhasabah diri kalau kita meninggalkan perjuangan satu pengkhianatan kepada perjuangan dan sahabat-sahabat yang lain.

4. Mendatangkan fitnah kepada perjuangan parti, kerana orang menganggap bahawa semua orang yang berjuang tidak boleh dipercayai.

5. Masalah peribadi jangan menjadi alasan untuk kita keluar parti. Kerana perjuangan kita, mesti nawaitu kerana Allah.

Akhirnya kita perlu berdoa "Ya Allah kalau hidup ini baik untuk agamamu dan hidupku maka panjanglah umurku, Ya Allah kalau hidup ini tidak baik untuk agamamu dan hidupku matikanlah aku".

Biarlah kita mati atas prinsip yang benar dan hidup mulia. Jangan mati dalam keadaan kita dianggap tidak mempunyai pendirian yang kukuh. Apa yang kita hendak cari dalam dunia ini melainkan keredaan Allah, bukan keredaan manusia.
Wallahua?lam. - mns

EZAM IBARAT AYAM JANTAN YANG GAH BERKOKOK TETAPI EKORNYA DIPENUHI NAJIS...

Mohd Rashidi Hassan Thu May 29, 08 4:33:19 pm MYT

Ada banyak rumours diperkatakan apabila Ezam Mohamed Nor menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.

Ezam mengatakan beliau berhasrat masuk Umno bukan kerana mengkagumi personaliti Abdullah, sebaliknya perubahan dasar yang dijalankan khususnya dalam persoalan Badan Pencegah Rasuah dan isu kehakiman, begitu menarik minatnya.

Hakikatnya pada beliau perubahan dasar yang dibuat oleh Abdullah, Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno begitu mendorong pendiriannya untuk berubah.

BN dan Umno sudah berubah? Benarkah begitu? Apakah pendirian yang diambil Ezam sekarang ini, sinomin dengan perjuangan beliau selama ini?

Ezam sejak dua tahun lepas adalah orang yang tidak berparti. Kisah Ezam keluar KeADILan bukan lagi menjadi isu. Dua tahun lalu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda atas alasan hendak menumpukan kepada Gerak.

Namun, ada yang mengatakan beliau bergaduh dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmi Ali, ada juga yang mendakwa Ezam bergaduh dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Ketika Anwar dipecat pada tahun 1998, Ezam adalah Setiausaha Politiknya, manakala Azmin sebagai Setiausaha Sulit.

Kedua-dua anak muda ini merupakan antara tonggak utama dan orang kepercayaan Anwar untuk menggerakkan gerakan reformasi semasa Anwar merengkok dalam tahanan.

Dalam parti politik, pemimpin memang ada banyak perbezaan pendapat. Soal pergaduhan dan bagaimana bentuk pendekatan masing-masing tidak perlu dihuraikan di sini.

Kunjungan Ezam ke Harakah

Kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan Februari lepas, Ezam Mohd Noor berkunjung ke pejabat Harakah, menemui Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman.
Jika tidak silap, hari itu hari Ahad. Hari cuti. Banyak pejabat ditutup, begitu juga dengan Harakah. Hanya dua tiga orang sahaja yang bekerja.

Kami mencadangkan perjumpaan dibuat pada hari lain, namun beliau tetap mahu berjumpa katanya, atas urusan yang amat penting.

Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemberita, Wan Nordin Wan Yaacob tentang kehadiran Ezam bertemu dengan Lutfi, tetapi tidak dapat turut serta kerana ada tugasan di Alor Setar.
Butiran mengenai pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Lutfi dalam mesyuarat Jabatan Pengarang selepas itu.

Dalam pertemuan tersebut saya dimaklumkan Ezam begitu beriya-iya meminta dibekalkan bahan-bahan untuk membantunya berkempen membantu pembangkang, khususnya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Bahan utama yang diminta beliau ialah mengenai laporan Badan Pencegah Rasuah dan sebarang dokumen mengenai penyelewengan yang membabitkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Bahan-bahan tersebut sememangnya ada pada Lutfi, kerana sebelum ini beliau begitu giat mendedahkan apa yang disifatkan penyelewengan, salah laku dan rasuah yang membabitkan seorang bertaraf MB.

Pada saya, apa yang diminta Ezam barangkali ada relevannya dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Gerak, yang digiat memperjuangan budaya bersih rasuah dalam negara.

Namun, sampai kesudah Lutfi enggan menyerahkan dokumen tersebut, setelah didesak beberapa kali oleh Ezam.

Saya bertanya kepada Lutfi, mengapa tidak diberikan sahaja dokumen itu kepada Ezam, barangkali boleh membantu kempen PAS di Selangor.

Namun Lutfi enggan memberikan, katanya, dia berasa hairan mengapa Ezam tiba-tiba meminta dokumen mengenai Khir dan merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku.

Benarkah Ezam dibeli?

Sewaktu saya berbual-bual dengan rakan-rakan KeADILan di pejabat Anwar di seksyen 16 Petaling Jaya beberapa hari sebelum PRU, saya ada memaklumkan kepada mereka bahawa bekas sahabat baik mereka ada mengunjungi Harakah.

"Ah! Engkau pedulikan sahaja dia tu, dia dah kena beli dengan Khairy (Khairy Jamaluddin)," dakwa seorang bekas Setiausaha Anwar.

Belum pun saya bertanya lebih lanjut beliau mendakwa, "Kami dapat maklumat dari budak-budak Gerak, RM1 juta dah masuk dalam akaun dari Norza, budak Khairy."

Saya faham mereka mendakwa seolah-olahnya Ezam sudah memperolehi sesuatu dari Khairy, melalui Dato' Norza Zakaria, Ahli Majlis Tetinggi Umno, yang dikaitkan sebagai kroni rapat menantu PM itu.

Persoalan mengapa Ezam meminta dokumen mengenai Khir Toyo terjawab. Khairy dikatakan tidak menyukai bekas MB Selangor itu dan berusaha untuk menjatuhkannya dengan menggunakan Ezam.

Oleh kerana itu pada saya, kebimbangan Lutfi di atas gaya body language Ezam dalam pertemuan mereka barangkali juga ada asasnya.

Di kalangan KeADILan diberitahu, Ezam ada membuat beberapa kali pertemuan dengan Khairy, sebelum ini.

Kes tentang apa yang didakwa membabitkan 'perundingan' Ezam dengan pemimpin-pemimpin Umno bukannya baru.

Beberapa tahun lepas, didedahkan kes yang sama timbul sewaktu 'perundingan' diadakan dengan Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kalangan yang masuk Umno ketika itu, membabitkan bekas Naib Ketua Pemudanya, Zahid Mat Arif dan bekas tahanan ISA, Lokman Nor Adam yang didakwa memperolehi sejumlah wang atau 'ghanimah politik' di atas penggadaian prinsip perjuangan mereka.

Zahid dan Lokman beserta beberapa yang lain, ditempelak hebat kerana meninggalkan perjuangan untuk memasuki Umno.

Ketika Lokman ditempelak, untuk menjawab segala tohmahan, Lokman mengatakan bukan inisiatif beliau pada asalnya pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Subang dibuat.

Katanya, beliau ada bukti dan gambar ada pimpinan tertinggi KeADILan yang mengetuai delegasi perundingan untuk memasuki Umno, ketika itu.

Ada yang mengatakan dakwaan mereka ada kaitannya dengan Ezam.

Jika ini benar, soal Ezam hendak masuk Umno, bukannya perkara baru. Maka Ezam tidak boleh mengelak untuk dikaitkan dengan persepsi bahawa, perundingan beliau masuk Umno barangkali membabitkan soal jawatan dan 'peruntukan'.

Soal banyak mana, apa yang diperolehi oleh Ezam dan rakan-rakan rapatnya, yang mendorong mereka memasuki Umno, tidak dapat dipastikan.

Apa yang Ezam mampu lakukan dalam Umno?

Sebelum ini, khususnya sewaktu Ezam 'bercerai' dengan KeADILan, beliau begitu rapat dengan pemimpin-pemimpin PAS, antaranya Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ezam juga sering berjumpa dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ada banyak janji 'tidak akan masuk Umno' yang sering Ezam ulang-ulangkan di hadapan pemimpin PAS.

Ada banyak "Sumpah Keramat" Ezam dalam ceramah-ceramahnya yang menempelak, mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib dan banyak lagi yang masih ada dalam rekod berbentuk kaset dan VCD.

Semua rekod-rekod ini menjadi bukti bahawa Ezam sebenarnya sudah menggadaikan prinsip perjuangan yang beliau sendiri bersumpah acapkali.

Tanpa disedarinya sumpah-sumpah ini semua sedang memakan diri Ezam. Hanya masa dan waktu sahaja akan menentukan. Wallahu a'lam.

Apa pun yang berlaku, sama ada ungkapan Ezam berbentuk janji, sumpah dan sebagainya, hakikat yang dibuktikan sekarang di hati Ezam hanya ada Umno, bukan PAS, jauh sekali KeADILan.

Ezam barangkali berfikir, laluannya memasuki Umno, menerusi Khairy terus kepada Abdullah boleh menjadi suatu advantage baginya.

Semuanya belum tentu! Orang-orang Umno sedang mencongak, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku dengan kemasukan Ezam ke dalam parti yang hampir karam itu.

Pertama, seperti kata Dato' Seri Najib Tun Razak, 'Ezam ada banyak maklumat'. Mungkin maklumat-maklumat ini boleh digunakan untuk membelasah Anwar dan menghalang pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kemungkinan kedua; Tidak boleh dinafikan wujud persepsi bahawa Ezam masih agen Anwar Ibrahim. Dalam keadaan sekarang, ada kalangan ahli Umno yang bimbang, Ezam boleh digunakan Anwar untuk menambahkan kerosakan dalam Umno.

Kemungkinan ketiga; Tiada apa-apa pun perubahan yang boleh berlaku kepada Umno! Sewaktu berbondong-bondong ahli Umno diketuai bekas Presidennya, Dr Mahathir keluar Umno kerana kegagalan Abdullah Badawi, Ezam pula hendak masuk Umno atas alasan Abdullah sudah mengubah Umno dan kerajaan.

Apa yang Abdullah ubahkan pun tidak diketahui. Malah Abdullah, BN dan Umno ditolak rakyat dalam PRU Mac lepas kerana dasar-dasar yang lapuk yang tidak boleh diterima.

Malahan sebahagian besar orang-orang Umno berpendapat, parti itu hanya akan berubah hanya apabila Abdullah Badawi meletakkan jawatan.

Umno ibarat Titanic dan tongkang pecah yang sedang menanti untuk karam. Mudah-mudahan 'niat' baik Ezam dan suku sakatnya menyertai kapal, boleh menampung kerosakannya untuk terus berlayar.

Barangkali Umno/BN boleh terus berlayar, tetapi bukan sebagai kerajaan, tetapi sebagai pembangkang.

Ikutlah, mungkin juga nasib Ezam untuk terus menjadi pembangkang.

Cuma, pesanan bekas rakan-rakan seperjuangan kepada anda, jangan jadi seperti "Ayam jantan yang gah berkokok berderau-derau, tetapi ekornya bergelumang dengan najis."

Apa pun, well...good luck saudara Ezam!

Thursday, May 22, 2008

SIAPA SEBENARNYA DURI DALAM DAGING - DR M

Saya telah ikuti laporan berkenaan keputusan saya keluar dari Umno yang disiarkan RTM 1, 8 malam, 19 Mei. Komen oleh dua pemimpin Umno amat menggelikan hati saya.

Tun Musa Hitam dakwa saya adalah 'duri dalam daging yang sekarang sudah dikeluarkan.'
Tun, apakah Tun lupa Tun jadi duri dalam daging Umno tahun 1986 - 87 dahulu? Semasa Tun jadi Timbalan Perdana Menteri [di lantik oleh saya]. Tun telah letak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno kerana hendak saya berhenti daripada jadi Perdana Menteri dan diganti oleh Tun. Atas rayuan ahli Majlis Tertinggi, Tun kembali sebagai Timbalan Presiden Umno. Rupa-rupanya Tun masih punyai niat untuk jatuhkan saya.

Oleh itu Tun menghasut Tengku Razaleigh yang menjadi musuh ketat Tun supaya lawan saya. Demikianlah bencinya Tun kepada saya sehingga sanggup terima musuh ketat Tun bertanding Presiden, dan Tun jadi Timbalannya; Tun sebelum itu rayu supaya saya sokong Tun untuk rebut jawatan Timbalan Presiden dalam pertandingan lawan Tengku Razaleigh.

Akhirnya pecahlah Umno dan muncullah parti serpihan Semangat 46. Tetapi dengan bijaknya Tun tidak menyertainya. Tun selamat dan dilantik oleh saya sebagai perutusan bertaraf Menteri ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Tengku Razaleigh terkeluar daripada Umno Baru dan menjadi mangsa perancangan Tun. Syabas Tun. Saya tak tahu sekarang Tun ahli Umno atau tidak.

Satu lagi pemimpin Umno ialah Shahrir Samad yang lupa bagaimana dia keluar Umno, jadi calon bebas dan lawan dengan Umno, dalam Pilihan raya Kecil dengan simbol kunci.

Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya? Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai Ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Dato' dibenar kembali ke pangkuan Umno, Dato' akan jadi duri dalam daging Umno lebih lama. Walaupun Dato maki hamun saya semasa pilihan raya kecil saya bersetuju Dato' masuk balik Umno.

Saya ucap tahniah kerana Dato' dapat sekali lagi jadi Menteri. Jagalah harga barang baik-baik.
Tak usahlah komen tentang diri saya.

Tepuk dulang paku serpih,
Katakan orang awak yang lebih.
- chedet.com

Wednesday, May 21, 2008

KENYATAAN PENUH DR MAHATHIR

Selasa, 20 Mei 2008

HARI ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12. Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah. Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi. Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan. Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.


Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)

Tuesday, May 20, 2008

KEGAGALAN BARISAN NASIONAL - TUN DR. MAHATHIR

Kegagalan Barisan Nasional
1. Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri telah menyalahkan semua orang kecuali dirinya sebagai penyebab prestasi Barisan Nasional yang buruk pada Pilihanraya Umum ke-12.
2. Dia menyalahkan pengundi kerana kononnya tidak mahukan dia menang dua-pertiga majoriti; ahli Barisan Nasional kerana sabotaj, ahli UMNO di Kedah dan Perak juga kerana sabotaj, Tengku Razaleigh Hamzah kerana kekalahan Barisan Nasional di Kelantan dan saya sendiri kerana lantang mengkritik dirinya dan Kerajaan pimpinannya.
3. Apa yang dikatakan olehnya bukanlah semuanya salah. Ada banyak kebenaran di dalam apa yang dikatakan. Saya tahu ramai ahli UMNO yang mengundi pembangkang. Saya akui apa yang saya katakan mungkin pengaruhi sesetengah daripada mereka untuk lakukan apa yang tidak pernah terfikir oleh mereka.
4. Tetapi soalnya, kenapakah mereka berbuat demikian? Ahli UMNO selalunya amat setia terhadap parti mereka. Mereka tidak akan mengundi pembangkang, terutamanya PAS dan DAP. Tetapi di dalam Pilihanraya Umum 2008, mereka buat demikian. Bagaimana pembangkang boleh menang jika mereka tidak mendapat undi penyokong Barisan Nasional? Kekurangan jumlah undi pada calon Barisan Nasional hampir sama jumlahnya denganpeningkatan undi untuk parti pembangkang.
5. Selama 50 tahun dan 11 Pilihanraya Umum, ahli UMNO dan rakyat Malaysia secara purata tidak pernah gagal menyokong UMNO mahupun Perikatan/Barisan Nasional. Kecuali pada tahun 1969 apabila orang Cina tidak memberi sokongan mereka, Perikatan dan Barisan Nasional menang dua-pertiga majoriti tiap kali.
6. Tunku Abdul Rahman (kecuali Pilihanraya Umum tahun 1969), Tun Razak, Tun Hussein Onn, dan saya sendiri tidak pernah gagal menang lebih dua-pertiga majoriti. Sudah tentu kami tidak pernah menyalahkan ahli parti kerana sabotaj. Tetapi Dato Seri Abdullah mengakui bahawa dirinya telah disabotaj oleh ahli UMNO.
7. Ahli UMNO tidak mahu parti mereka kalah. Tetapi mereka rasakan perlu untuk hantar mesej kepada Dato Seri Abdullah dan konco-konconya yang hanya berminat untuk mengiakan setiap apa yang dia katakan. Mereka (ahli UMNO) tidak boleh meluahkan perasaan mereka kerana semua jalan telahpun tertutup. Perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO dipilih kerana mereka tidak akan mengkritik Presiden. Anak saya Mukhriz apabila menyatakan tidak ada benda baru yang disampaikan presiden parti dalam ucapan 2006 telah dipanggil oleh Jawatankuasa Pemuda, dimarahi dan diarah untuk memilih antara bapanya dan Presiden.
8. Majlis Tertinggi UMNO dan Kabinet dipenuhi "Yes-Men" yang tidak pernah menyuarakan ketidakpuasan hati ahli UMNO di peringkat akar umbi. Ahli UMNO diugut tindakan disiplin jika mendengar ucapan sesiapa yang tidak mendapat restu atau kelulusan Presiden. Ini termasuk saya. Polis dan UMNO Negeri akan memanggil pihak yang menjemput saya dan diarah menarik balik jemputan mereka.
9. Apabila ahli UMNO tidak dapat menyuarakan pendapat sebenar mereka berkenaan Kerajaan, hanya terdapat satu cara sahaja bagi mereka untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka, iaitu dengan undi mereka dalam Pilihanraya Umum. Undi secara dasarnya adalah rahsia. Begitu takutnya pengundi UMNO ini akan orang lain mengetahui tentang niat mereka, maka mereka tidak mendedah kepada sesiapapun niat mereka untuk mengundi pembangkang. Begitulah sehinggakan tiada siapa dapat meramal dengan tepat peralihan sokongan yang besar yang berpihak kepada pembangkang.
10. Sesetengah ahli UMNO masih tidak sanggup mengundi pembangkang. Oleh itu mereka sengaja rosakkan undi mereka. Terdapat 300,000 undi rosak, satu angka yang mungkin terbesar dalam sejarah pilihanraya. Tak mungkin setelah 50 tahun dan 11 Pilihanraya Umum pengundi masih lagi tidak tahu bagaimana nak mengundi.
11. Mungkin kerana saya pengundi UMNO berbuat demikian. Saya telah menyeru ahli UMNO untuk mengundi calon yang terbaik dan bukan hanya parti. UMNO boleh meletakkan calon yang benar-benar baik tetapi walaupun Presiden memberi jaminan yang semua calon bersih dan berkelayakan, mereka kalah. Ini kerana calon tidak baik dan ini mengganti calon yang berjaya atau "giant killers" yang telah berjaya pada pilihanraya lalu. Kebanyakan calon payung terjun muda dan ahli UMNO marah kerana mereka syak calon muda ini dipilih oleh orang tertentu. Buatlah satu kajian untuk tentukan berapa ramai calon baru ini yang kalah.
12. Kepimpinan parti percaya yang ahli UMNO akan undi siapa sahaja yang dipilih oleh kepimpinan parti. Kepimpinan salah apabila memiliki pendapat ini.
13. Pengundi UMNO begitu sekali marah hinggakan mereka sanggup undi calon pembangkang yang bukan sahaja tidak layak dari segi akademik, tetapi tidakpun berpengalaman.
14, Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, terutamanya Dato Seri Abdullah patut terima kenyataan. Pengundi tidak menolak atau sabotaj Barisan Nasional tanpa sebab. Pada tahun 2004 pengundi belum lagi dapat menilai kepimpinan Dato Seri Abdullah. Jadi tidak ada sabotaj. Tetapi pada 2008 mereka telah dapat melihat siapa sebenarnya Dato Seri Abdullah. Dan mereka tidak suka apa yang mereka lihat.
15. Perkara pertama yang dilakukan selepas menjadi Perdana Menteri ialah untuk membawa masuk ahli keluarganya secara tidak rasmi ke dalam pentadbiran Kerajaan. Beliau boleh menafikannya tetapi orang ramai tahu akan kegiatan Khairy Jamaluddin dan Kamaluddin Abdullah serta konco-konconya termasuk budak-budak Tingkat Empat. Mereka sering turut serta dalam mesyuarat rasmi Kerajaan dan apabila Perdana Menteri mengadakan perjumpaan.
16. Kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO menaikkan kebencian ramai. Jika veteran parti dengan rekod perkhidmatan yang lama yang menang tanpa bertanding tidak ada sesiapa yang akan membantah. Tetapi Khairy berada dalam UMNO kurang dari lima tahun dan tidak pun mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di dalam UMNO. Bagaimana dia boleh menang tanpa bertanding?
17. Pengambilalihan Scomi oleh Kamaluddin timbulkan tandatanya. Seorang pemegang saham terbesar Scomi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dia masih lagi ditahan. Pada waktu yang sama Scomi menang banyak kontrak yang melibatkan kelulusan Petronas.
18. Scomi juga telah mengambil-alih M-Trans baru-baru ini kerana sistem monorel telah dicadangkan untuk Pulau Pinang. Keputusan juga dijangka dibuat untuk meneruskan projek monorel Putrajaya.
19. Setelah berjanji ketelusan dan pengagihan kontrak melalui tender terbuka, Kerajaan terus memberi kontrak yang besar kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan selalunya sebelum Unit Perancang Ekonomi dapat membuat penilaian dan perancangan. Tidak ada tender. GLC ini tidak punyai kemampuan untuk menjalankan projek-projek ini. Ianya kemudian akan di sub-kontrak kepada kontraktor-kontraktor yang tiada sesiapa pun tahu. Dipercayai bahawa harga kontrak ditingkatkan melebihi harga jangkaan asal.
20. Kalimullah Masheerul Hassan dan ECM-Libra tiba-tiba menjadi begitu terkenal. Kalimullah mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Kerajaan. Sebuah syarikat Kerajaan yang besar, Avenue Assets digabungkan dengan ECM-Libra yang rendah nilai sahamnya. Tetapi nilai saham Avenue Assets sengaja diturunkan supaya ECM-Libra dapat menguasai syarikat gabungan ini.
21. Kalimullah juga berpengaruh kerana dianya adalah timbalan pengerusi eksekutif New Straits Times Press dan mempunyai suara yang besar di dalam bilik berita New Straits Times. Oleh itu Dato Seri Abdullah sentiasa dipaparkan dalam keadaan yang amat baik. Cerita yang menonjolkan Abdullah akan mendapat kelulusan untuk disebar meluas.
22. Malang bagi Abdullah, dia mula mempercayai cerita-cerita ini dan menyangka yang dia benar-benar popular. Oleh sebab itu dia telah mengadakan pilihanaya awal menyangkakan yang dia akan sapu bersih. Dia tidak menjangkakan yang pengundi menolak kepimpinannya. Tetapi dia masih lagi bertegas bahawa dia menang.
23. Di awal pemerintahannya dia memutuskan untuk tidak meneruskan apa yang dikatakan "mega projeck" yang saya sendiri telah mulakan. Itu haknya. Yang tidak betul dan apa yang membuatkan orang berfikir yang dia sebenarnya berdendam adalah cadangan yang mengatakan saya membuang duit ke atas banyak "pet" projek saya sehinggakan Kerajaan sudah tidak mempunyai wang untuk meneruskannya. Sebenarnya orang tahu bahawa projek-projek berkenaan amat diperlukan. Bayangkan Malaysia tanpa KLIA, Stesen Sentral, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, projek rel-keretapi berkembar dan elektrik, LRT, monorel Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, lebuhraya bertol, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Litar lumba Formula 1, Menara KL dan lain-lain
24. Saya tidak akan sebutkan berkenaan perkara-perkara yang dilakukannya yang menyentuh diri saya dan umumnya tidak diketahui orang ramai. Ini kerana pengundi tidak mungkin dipengaruhi perkara ini.
25. Tetapi apa yang diketahui ialah reaksinya terhadap kritikan saya berkenaan APs (Approved Permits) dan keputusan untuk tidak membina jambatan bengkok di Johor. Dia dan menteri-menterinya menghina saya di khalayak ramai dan di satu ketika hendak melucutkan saya daripada keahlian parti. Datuk Seri Nazri Aziz terutamanya, amat biadap.
26. Rakyat juga tahu bahawa dia dan rakan-rakan Kabinetnya, yang kebanyakannya adalah lantikan saya amat tidak mengenang budi. Rakyat juga tahu bahawa jika bukan kerana saya Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri hari ini. Begitu juga kebanyakan yang lain yang dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya merupakan penyokong kuat saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya meletakkan jawatan. Sekarang mereka menentang saya dan menghina saya dengan cara yang amat tidak sopan. Saya tidak tersinggung kerana ini tetapi saya fikir orang ramai anggap perangai sebegini amat buruk.
27. Ketakutan yang Abdullah semaikan dalam diri Menteri-Menterinya, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan kepimpinan UMNO yang lain begitu hebat sekali sehinggakan tiada yang sanggup berdiri mempertahankan saya ataupun untuk mempertikaikan apa yang Abdullah dan rakan-rakannya kata..
28. Jika Singapura tidak bersetuju untuk membina jambatan lurus melainkan pasir dijual kepadanya, kita sepatutnya boleh teruskan pembinaan jambatan bengkok kerana ianya tidak ada kena-mengena dengan Singapura. Tetapi kerana marahkan penolakan rakyat Johor terhadap usaha menjual pasir dan kebenaran bagi jet pejuang Singapura melintasi ruang udara Johor, Abdullah telah batalkan pembinaan jambatan bengkok. Kenapa?
29. Saya percaya ianya kerana 1 billion meter persegi pasir yang dia mahu jual kepada Singapura tetapi dibantah Johor. Ada orang yang akan mendapat untung hingaa satu bilion Ringgit dalam masa 20 tahun dari penjualan pasir. Singapura bersedia membeli pasir pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran kerana tanah yang ditambak akan dijual pada harga antara 3,000-5,000 dolar Singapura satu kaki persegi.
30. Bantahan Johor adalah kerana perlombongan pasir dasar laut akan menyebabkan hakisan pantai, kemusnahan kawasan pembiakan ikan dan akan menyebabkan nelayan Johor kehilangan kawasan menangkap ikan. Royalti yang akan dikutip Johor juga tidak terbanding dengan keuntungan yang diraih Singapura dengan mejual tanah tambak.
31. Terdapat beberapa perkara lain yang dilakukan Abdullah yang orang tidak suka. Ini termasuk isu pengeluaran AP, penjualan MV Agusta, masalah bangunan CIQ Johor Baru, pembatalan projek landasan berkembar dari Johor Baru ke Padang Besar, masjid kristal di Terengganu, Monsoon Cup, koridor-koridor serta pengubahsuaian Seri Perdana.
32. Banyak juga perkara yang tidak popular yang dilakukan Dato Seri Abdullah yang telah menyisihkan ahli serta pengundi UMNO dan Barisan Nasional secara umumnya. Jika ada sesiapa yang patut dipersalahkan kerana prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional, dianya adalah Dato Seri Abdullah sendiri. Ini adalah pendapat majoriti kebanyakan rakyat Malaysia. Jika mereka diberi kebebasan bercakap, inilah yang akan mereka katakan.
33. Walau bagaimana pun beliau menolak yang beliau adalah punca segala-galanya. Walau betapa ramai orang yang beliau salahkan, beliau tidak boleh menerangkan kenapa malapetaka yang melanda UMNO, MCA, MIC dan Gerakan dan Barisan Nasional ini tidak pernah berlaku dibawah empat Perdana Menteri yang terdahulu, tetapi hanya berlaku dibawah pentadbirannya. Dia tidak boleh menerangkan kenapa berlaku sabotaj oleh ahli UMNO dan parti komponen pada tahun 2008 sedangkan sebelum ini mereka amat setia dan tidak pernah gagal memberi Perikatan dan Barisan Nasional kemenangan dua-pertiga majoriti di Parlimen dan kemenangan di hampir semua negeri-negeri.
34. Jika Dato Seri Abdullah berdegil tidak mahu mengundur diri dan jika dia cuba untuk mengenepikan usaha peralihan kuasa sebelum Pilihanraya Umum akan datang, pengundi serta ahli parti yang meluat dengannya akan tentukan Barisan Nasional dikalahkan di peringkat Pusat dan Negeri sebagai satu cara untuk menyingkir beliau dan mengakhiri tempohnya sebagai Perdana Menteri.
35. DAP dan PAS akan tentukan Dato Seri Abdullah terus jadi Perdana Menteri hingga Pilihanraya Umum seterusnya kerana serupa seperti 2008, pengundi Barisan Nasional yang menyampah dengan BN akan meyokong pembangkang. Kemarahan Karpal Singh terhadap serangan saya ke atas Dato Seri Abdullah ialah kerana saya mungkin menyebabkan Dato Seri Abdullah undur diri. Dengan ini DAP dan parti pembangkang yang lain akan kehilangan satu orang yang tentunya akan menolong mereka menang. Ini akan menjadi realiti sekiranya PAS dan DAP berjaya mediri Kerajaan yang baik bagi Negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka.
36. Apabila ini terjadi maka tidak akan ada apa-apa lagi harapan bagi UMNO untuk kembali berkuasa.
37. Seperti yang saya katakan, saya mengaku bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi UMNO dan Barisan Nasional. Sebabnya ialah jika Dato Seri Abdullah menang besar beliau akan terus mengabaikan objektifnya untuk UMNO dan untuk kesejahteraan Malaysia.
38. Saya akan anggap diri saya sebagai pengkhianat bangsa jika saya biarkan ini berlaku. Dan mereka yang terus menerus mengampu Dato Seri Abdullah akan menjadi pengkhianat negara, bangsa dan orang Melayu serta agama mereka juga.
39. Akhirnya, analisa menunjukkan yang bertanggunjawab bagi kekalahan yang dialami Barisan Nasional ialah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Jika dia mahu menebus dirinya dan bantu pulihkan UMNO dan BN dia harus meletak jawatan dan biarkan kerja-kerja pemulihan dijalankan oleh pihak lain. Selagi dia terus kekal Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia, pemulihan adalah mustahil.
Artikel ini yang penulisan asalnya di dalam Bahasa Inggeris telah disiarkan akhbar The Sun pada keluaran 9hb Mei, 2008

Sunday, May 18, 2008

Teks Ucapan Ketua Pembangkang: Junjungan Kasih DYMM Seri Paduka Baginda (5 Mei 2008)

Tan Sri Yang di-Pertua,

Saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan junjungan kasih tidak terhingga di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Sultan Mizan mencemar duli bagi merasmikan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Kedua Belas di dewan yang mulia ini.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan dan sokongan rakan-rakan seperjuangan dari kalangan parti-parti Pakatan Rakyat; Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), DAP dan PAS yang memberi mandat kepada saya sebagai Ketua Pembangkang. Mandat ini melakarkan satu sejarah perlantikan Ketua Pembangkang wanita yang pertama dalam dewan yang mulia ini. Apatah lagi Dewan Rakyat kali ini pula mencatat sejarah di mana pembangkang menafikan majoriti dua pertiga parti pemerintah. Dengan demikian kerajaan tidak lagi boleh menjadikan dewan ini untuk membolos apa sahaja kemahuan mereka tanpa mengambil kira pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada kalangan parti-parti Pakatan Rakyat.


Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bangkit memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini dimana beberapa keputusan bersejarah telah dilakarkan. Di peringkat pilihanraya parlimen, pada keseluruhannya 3,796,464 undi atau 49.4% undi popular diperolehi oleh calon-calon pembangkang. Natijahnya kini Dewan Rakyat menyaksikan kehadiran 82 orang Ahli-Ahli Yang Berhormat dari pembangkang. Kerana perkiraan sistem dan amalan demokrasi ala Westminster dengan izin, yang masih digunapakai dalam negara kita, pihak pembangkang yang memperolehi 49.4% undi popular hanya diwakili oleh 36.9% bilangan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jika sistem perwakilan berkadar atau 'proportionate representation' dengan izin, digunapakai secara mutlak bagi pilihanraya lalu, maka pada hari ini pembangkang seharusnya paling tidak diwakili oleh 110 Ahli, berbanding 112 Ahli bagi Barisan Nasional, iaitu perbezaan hanya dua kerusi. Meskipun demikian, kita bersyukur bahawa rakyat juga telah membuat keputusan dengan memberi mandat kepada pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Saya yakin dan percaya, segala keputusan ini merupakan isyarat jelas bahawa rakyat ingin perubahan, yakni perubahan ke arah Malaysia baru di masa hadapan.

InsyaAllah, mandat yang diberikan rakyat tidak akan disia-siakan dan kami akan memastikan suara dan harapan mereka akan diungkit dan diisi bukan sahaja dalam Parlimen tetapi di mana jua ruang dan peluang yang ada.

TAHANAN ISA

Tan Sri Yang di-Pertua,


Pertama sekali yang ingin saya kemukakan sebagai memulakan tugas rasmi saya sebagai Ketua Pembangkang dalam dewan yang mulia ini ialah dengan ikhlasnya saya meminta kerajaan agar membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan segera tanpa syarat atau bicarakan mereka dalam mahkamah terbuka jika terdapat sebarang pendakwaan terhadap mereka.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1960, akta ISA telah menjadi alat yang paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa bicara. ISA juga menyekat kebebasan individu dan meningkatkan kuasa eksekutif serta melemahkan kuasa mahkamah dari menyemak sebarang ketidakadilan. Selain menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia, ISA juga mempunyai kesan terhadap masyarakat sivil dan ianya menjejaskan kegiatan dan penglibatan politik di Malaysia.

ISA seringkali digunakan untuk menyekat aktiviti politik, akademik, sosial serta mencengkam pandangan badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik. Dengan ugutan dan ancaman penggunaan ISA, ia juga sering disalahgunakan untuk mempertahankan kepentingan mereka yang berkuasa dan bukan untuk kepentingan keselamatan negara.

Saya ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa sejak ISA digubal dan dijadikan Akta, bilangan mereka yang pernah ditahan dibawah ISA kini sudah mencecah angka seramai 10,711 orang; kesemuanya ditahan tanpa
bicara. Dalam pengamatan kami, kini terdapat seramai 70 orang yang sedang
ditahan di bawah ISA di kem tahanan Kamunting; tahanan-tahanan tersebut
dilabelkan sebagai Jemaah Islamiyyah (seramai 29 orang), Darul Islam (17
orang), Dokumen Palsu/dan syiling (8 orang), Agen Perisik Asing (7 orang),
HINDRAF (5 orang), Gerakan Pemisah Thai (2 orang), Nuklear (1 orang) dan
Pendatang Tanpa Izin (1 orang).

Melalui dewan ini, pertamanya kerajaan dituntut supaya membebaskan
semua tahanan ISA dengan segera tanpa sebarang syarat atau dakwakan mereka di
mahkamah terbuka jika terdapat sebarang tuduhan menurut undang-undang.
Keduanya, kerajaan dituntut supaya menutup kem tahanan Kamunting di Taiping,
Perak dengan segera. Ketiganya, kerajaan dituntut supaya memansuhkan ISA.


EKONOMI DAN PEMBANGUNAN
NEGARA

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kita perlu menakrif semula asas baru falsafah dan konsep negara
tercinta ini. Mengekal yang baik dan membasmi serta menghapus segala keburukan,
penyalahgunaan kuasa, pembaziran kewangan dan ekonomi, dan manipulasi polisi
awam secara sistematik dan terancang untuk kepentingan peribadi. Kita akan kemukakan idea-idea baru untuk penyelesaian dalam pengurusan ekonomi. Kita juga
akan mencadang keperluan reformasi agar negara muncul sebagai sebuah negara
yang benar-benar demokratik. Mengambil yang baik dari pengalaman lama berserta
dengan suntikan idea-idea baru kita akan membina asas baru falsafah dan konsep
negara dengan mengambil kira Agenda Ekonomi Malaysia dan memulakan reformasi
bagi memasti keadilan dan kesaksamaan terlaksana untuk semua lapisan rakyat
Malaysia.

Yang di-Pertua,


Ekonomi moden negara diasas dari pembangunan industri getah dan timah.
Kemudian pada dekad 70an dan 80an kita berjaya menyusun semula asas ekonomi
dengan menjadi pusat pengeluaran semikonduktor dan barangan elektronik pengguna
yang sehingga hari ini menyumbang kepada lebih 30% daripada Keluaran Dalam
Negara Kasar atau KDNK. Kita berterima kasih kepada perancang awal ekonomi
negara yang membuat penilaian betul dan tepat pada ketika itu. Penemuan
minyak dan gas di persisiran pantai negara pada dekad yang sama telah menjana
sumber kekayaan dan asas baru ekonomi dengan pembangunan industri berasaskan
petrol dan petrolkimia berpusat di Sarawak, Sabah, Pantai Timur
Semenanjung, Johor dan Melaka. Pada dekad yang sama juga negara memberi
penekanan dan tumpuan yang besar kepada kajian dan penyelidikan dalam industri
minyak kelapa sawit dan berjaya menghasilkan industri minyak sawit terbesar
dunia satu ketika dulu.

Pada perkiraannya negara sepatutnya sudah menjana kekayaan yang
berupaya menanggung seluruh rakyatnya dengan selesa. Ia sepatutnya berupaya
menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan awam bertaraf dunia
pertama kepada rakyatnya pada kadar tol, caj dan cukai yang munasabah dan
berpatutan. Negara sepatutnya berupaya menyediakan kemudahan asas kesihatan dan
pendidikan secara percuma. Dalam perumahan, negara sepatutnya menyediakan
kemudahan yang upaya dimiliki penduduk dalam usaha menggalakkan pemilikan rumah
oleh rakyat. Secara teori ekonomi kita sepatutnya berdaya menyediakan
pendapatan yang baik kepada semua golongan berasaskan sumbangan produktif
mereka dalam ekonomi. Dengan hasil bumi yang kaya, barangan komoditi yang
pelbagai dan daya usaha gigih di kalangan penduduk ekonomi kita sepatutnya
cukup dan amat berjaya dan menduduki tangga ekonomi terbilang
dunia.

Namun demikian, rakyat kini kian terhimpit dengan peningkatan kos
saraan hidup yang begitu ketara dengan inflasi yang tidak dapat dikawal
termasuk keperluan asas isi rumah. Keluarga sederhana tertekan untuk memenuhi
keperluan dan saraan hidup harian kerana terpaksa membayar penggunaan kemudahan
infrastruktur, pendidikan dan kesihatan. Ramai tidak dapat memenuhi tuntutan
bayaran bulanan dan rumah-rumah terutama rumah kos rendah dan sederhana terlelong
meningkat tahun demi tahun. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana
yang terdiri daripada lebih 50% daripada penduduk negara, keupayaan menyimpan
sudah hampir tiada. Tetapi 10% lagi rakyat yang berada di sekeliling pusat
pembangunan pesat menikmati kemewahan ketara hasil hubungan rapat mereka dengan
kepimpinan negara. Jurang pendapatan di antara 10% rakyat terkaya dan 90% yang
lain begitu ketara. Daripada perubahan kepada ekonomi moden sepertimana
dibayangkan dalam Wawasan 2020 dimana jurang pendapatan dirapatkan dikalangan
penduduk setiap tahun, negara diselubungi dengan pelbagai masaalah.

Laporan Pembangunan Insan Bangsa-Bangsa Bersatu (2007) menunjukkan
Malaysia mempunyai jurang pendapatan diantara yang kaya dengan yang miskin
paling tinggi di Asia Tenggara dan yang kedua tertinggi di Asia selepas Papua
New Guinea. 10% rakyat terkaya menguasai 38.4% kekayaan negara manakala 10%
rakyat termiskin memiliki hanya 1.7%. Inilah simbol dan manifestasi kerasuahan
dan kerakusan polisi ekonomi negara yang cuma mengejar kadar pertumbuhan
Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sebenarnya kita berhadapan dengan kesilapan dalam pengurusan ekonomi
sejak kerajaan memperkenalkan konsep Pensyarikatan Malaysia atau "Malaysia
Incorporated" dengan izin, yang menyamakan negara sebagai sebuah syarikat.
Manakala syarikat ini membuat keputusan dan pertimbangan tanpa perlu merujuk
kepada pemegang saham terbesarnya iaitu rakyat. Rakyat hanya boleh persoal
melalui sidang parlimen yang diwakili oleh ahli-ahli Dewan Rakyat. Oleh kerana
wujud dominasi parti pemerintah yang begitu mutlak di Parlimen pada ketika itu,
maka tiada banyak halangan bagi kerajaan untuk melakukan apa saja demi
kepentingan mereka. Dalam banyak hal, rakyat tidak tahu menahu apa yang
kerajaan lakukan kerana semua saluran maklumat dikuasai dan dikongkong oleh
kerajaan. Pertanggungjawaban dan ketelusan diketepikan dengan alasan untuk
memecut pembangunan ekonomi.

Di bawah konsep ini kerajaan mengalihkan ratusan billion ringgit sumber
kewangan negara (dianggarkan antara 500-550 billion ringgit) yang hampir
kesemuanya dipinjam dari institusi kewangan baik dalam maupun luar negara ke
dalam projek-projek mega termasuk Masjid Kristal. Kebanyakan projek diluluskan
tanpa penilaian ekonomi dan kewangan yang teliti. Rasionalnya kerajaan kaya dan
berupaya meminjam dari pendapatan masa depan. Sejak 9 tahun yang lepas
perbelanjaan kerajaan mengalami defisit antara 4.5% - 6.5 % daripada Keluaran
Dalam Negara Kasar atau KDNK setiap tahun.






Tan Sri Yang di-Pertua,
Banyak projek-projek dianugerah secara penswastaan dengan syarat-syarat
perjanjian yang amat menguntungkan penerima konsesi dan tanpa menekan untuk
menjadi lebih efisien dan murah. Ini termasuk Penjana Tenaga Bebas atau
‘Independent Power Producer', MAS, LRT, pembinaan hospital, bekalan perubatan,
makmal perubatan, pemeriksaan kenderaan, bekalan air dan sebagainya. Hampir
semua diluluskan dengan harga yang melambung tinggi akibat ketiadaan tender terbuka.
Banyak tidak memenuhi kriteria asas ekonomi dan kewangan bagi memasti daya
kejayaannya. Semua mengandungi elemen subsidi, baik secara langsung atau tidak
langsung, sama ada melalui geran, kadar tol dan caj yang tinggi kepada pengguna
atau konsesi cukai. Banyak dijamin kerajaan untuk mendapat pinjaman dalam
pelaksanaan projek-projek ini. Nisbah kos faedah atau ‘cost-benefit ratio'
tidak pernah ditakrif dan diumum tetapi dipilih untuk pelaksanaan di bawah
slogan penswastaan.

Dalam hampir semua kes, kerajaan mewajarkan kelulusan projek-projek ini
kerana negara perlu menyediakan persekitaran sesuai untuk menarik pelaburan
baik tempatan mahupun asing. Apabila projek-projek mega ini siap tidak ramai
pula pelabur tertarik tetapi makin berkurangan tahun demi tahun, baik swasta
maupun pelaburan langsung asing. Malah, pelaburan menjunam dari 30% pada 1996
kepada hanya 9% dari KDNK sekarang. Pelaburan langsung asing pula menjunam dari
8% pada 1996 kepada 4% sekarang ini. Penurunan ini di antara yang paling parah
dalam dunia.

Kerajaan selalu memberi alasan bahawa penurunan ini disebabkan
kemelesetan ekonomi dunia sedangkan pelaburan tetap meningkat di banyak negara
termasuk Cina dan Vietnam. Di India sejak 5 tahun yang lepas pelaburan
meningkat dari 22% kepada 34% daripada KDNK mereka. Di Brazil pula, pelaburan
meningkat dari 15% kepada 27% dari KDNK mereka.

Kekurangan pelaburan bermakna negara akan ketinggalan dimasa hadapan.
Walaupun kerajaan berbangga dengan lebihan akaun semasa yang meningkat dari 8%
pada 2002 kepada 14% dari KDNK pada 2007, tetapi hakikatnya ia merupakan
penurunan pelaburan kerana kita tidak lagi mengimport barangan modal untuk
pelaburan.

Pertumbuhan ekonomi sejak 5 tahun lepas pula dijana oleh perbelanjaan
peribadi yang dibiayai oleh pinjaman menyebabkan kadar hutang isirumah rakyat
Malaysia merupakan yang paling tinggi dirantau ini. Dan ini tidak boleh
bertahan lagi melainkan kerajaan mengubah falsafah dan konsep negara.

Rakyat terpaksa membayar segala pembaziran yang dilakukan selama ini.
Kerajaan terus membebankan rakyat bagi mengurang subsidi kepada pemegang
konsesi projek dengan mengenakan bayaran caj dan tol yang tinggi bagi kegunaan
kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan. Kerajaan terus membiar pemegang
konsesi mengaut keuntungan yang tinggi dan berterusan dengan menyambung hayat
konsesi mereka. Kerajaan sentiasa menegaskan inilah ‘win-win situation' untuk
semua melainkan rakyat yang terpaksa menanggungnya. Sekarang bagaimana kerajaan boleh mengurangkan kadar tol dan caj bagi kegunaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang disediakan. Pemegang
konsesi menuntut subsidi yang berterusan dan kerajaan terpaksa membayarnya.
Dana yang sepatutnya boleh digunakan untuk memenuhi keperluan asas rakyat yang
lain makin berkurangan.

Sebagai contoh kerajaan tidak dapat menyelesaikan perjanjian berat
sebelah yang amat menguntungkan pemegang konsesi IPP, yakni ˜Independent Power
Producer' dan terus membebankan Tenaga Nasional dan rakyat, walaupun kerajaan
memberi pelbagai jaminan untuk menyelesaikannya dalam masa terdekat. Kos Tenaga
Nasional mengeluarkan 1 unit tenaga hanyalah 8.5 sen berbanding dengan kos yang
terpaksa dibeli dari IPP dengan harga 15.5 sen satu unit. Petronas terpaksa
memberi subsidi lebih daripada 58 billion ringgit kepada IPP kerana harga
bekalan gas telah ditetapkan sepanjang jangka hayat kontrak IPP, sedangkan
harga gas sekarang sudah melambung tinggi. Hasilnya kerajaan kekurangan dana
dan rakyat terpaksa menanggung kos kenaikan elektrik.

Kerajaan heboh dengan subsidi petrol yang diberi kepada rakyat. Tetapi
jumlah subsidi 38 billion ringgit tersebut masih kecil, berbanding dengan
subsidi yang diberikan kepada pemegang konsesi IPP ini. Inilah yang dikatakan
kerajaan hanya mementingkan keuntungan pemegang konsesi dan terus membiarkan
rakyat dibebankan dengan kenaikan kos, caj dan tol.

Begitu juga dengan penswastaan perkhidmatan kesihatan dimana pembinaan
hospital, bekalan perubatan, makmal perubatan dan sebagainya diswastakan.
Hasilnya kos pengendalian dan perkhidmatan hospital melambung tinggi. Rakyat
tidak lagi berupaya menanggung kos pemeriksaan dan perubatan kerana kosnya
meningkat. Apatah lagi sekiranya rawatan memerlukan penggunaan pelbagai
peralatan maka kosnya tidak tertanggung oleh rakyat. Ramai terlantar dirumah
kerana tidak beupaya menanggung kosnya. Sepatutnya negara kita berupaya
menyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat miskin dan
mengurangkan beban kepada rakyat umum. Kami meminta kerajaan mengkaji semula
kaedah penswastaan perkhidmatan kesihatan ini dan menjadikan perkhidmatan
kesihatan yang berupaya dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kita alu-alukan wacana mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB); relevan dan
keberkesanannya setelah diamalkan selama hampir 40 tahun. Kita tidak pernah
menafikan kebijaksanaan dasar tersebut tatkala ia dilancarkan. Malah, kita
mengakui manfaatnya kepada rakyat termasuk bumiputera terutama dalam bidang
pendidikan. Namun penyalahgunaannya terlalu ketara. Berpuluh billion ringgit
dikaut oleh segolongan kecil atas nama DEB. DEB telah dimanipulasi untuk mengalih kontrak terus ke tangan kroni
yang diutamakan atau terpilih. Justeru, DEB mesti diubah dan digantikan dengan
yang lebih wajar dan bermakna kepada bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain.
Amat malang buat bumiputera manakala hanya kelompok kayaraya yang mendabik dada
dan melaung supaya ia diteruskan. Yang perlu dihiraukan adalah nasib majoriti
bumiputera, Melayu di desa, Kadazan dan Murut, Iban dan Bidayuh dan lain-lain
di pendalaman dan pesisiran pantai. Namun, pendekatan baru ini harus telus,
mengambil kira kepentingan kaum Cina dan India terutama yang miskin dan
terpinggir.

Tan Sri Yang di-Pertua,
Masaalah besar yang dihadapi ekonomi sekarang ini ialah pengagihan
manfaat kepada segelintir masyarakat menyebabkan kesan manfaatnya tidak
mengalir ke peringkat pertengahan dan akar umbi masyarakat.
Kita perlu memikir dan memperhebat gabungan dan kepelbagaian program
dan projek seperti skim mikro kredit, pemodenan ladang pertanian, pengedaran
dan penjualan hasil dalam pasaran, skim pelaburan, skim berorientasi kebajikan
dan sebagainya untuk meningkat pendapatan lapisan masyarakat bawahan ini dengan
lebih berkesan. Yang paling penting ialah program untuk meningkatkan pendapatan
isi rumah kumpulan ini melalui ikhtiar yang produktif.
Kita menerima prinsip dan keperluan dasar tindakan affirmatif yang
akan menghasilkan penyertaan bumiputera, golongan miskin dan terpinggir
lainnya. Usaha mewujudkan golongan pedagang dan usahawan bumiputera perlu
diperhebatkan menurut kerangka tindakan tersebut. Kita akan melindungi,
memelihara dan membimbing mereka yang benar-benar mengurus pengeluaran dan
menyediakan perkhidmatan kepada sektor awam dan swasta.
Kita telah mengolah Agenda Ekonomi Malaysia untuk memacu pertumbuhan
yang lebih segar dan berdaya saing serta menggariskan program tindakan
affirmatif untuk semua agar mereka dapat menceburi dan bersaing secara adil dan
saksama dalam ekonomi negara.

INTEGRITI KERAJAAN

Tan Sri Yang di-Pertua,
Integriti kerajaan dalam pengurusan ekonomi kian teruk terjejas apabila
pemimpin kerajaan merestui rasuah dan pembaziran, mengamalkan nepotisme dengan
mengagihkan kontrak dan saham kepada keluarga serta mengamalkan kronisme dengan
memperkayakan kelompok kecil.

Dalam kes terkenal yang melibatkan pembekalan peralatan tentera atau
secara spesifik kapal selam Scorpene bernilai 4.5 billion ringgit yang dibuat
secara rundingan, komisyen yang melampau sebanyak 530 juta ringgit telah
dibayar oleh pembekal kepada Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki oleh Abdul Razak
Baginda, penasihat kepada Menteri Pertahanan. Begitu juga dengan pembelian jet
pejuang Sukhoi bernilai 3.2 billion ringgit dimana syarikat IMT Defence Sdn Bhd
yang dikuasai oleh Adib Adam bekas Ketua Menteri Melaka dan Menteri Tanah dan
Pembangunan Wilayah mendapat komisyen sebanyak 380 juta ringgit.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Dato' Zainal Abidin Zin memberitahu
Parlimen bahawa komisyen tersebut dibayar untuk penyelarasan dan khidmat
sokongan oleh pembekal dan tidak oleh kerajaan. Ia tidak memerlukan seorang
yang genius untuk menyedari bahawa sebenarnya kerajaan yang menanggung
pembayaran komisyen tersebut melalui nilai yang dilambungkan untuk mengambil
kira bayaran komisen itu. Tanggapan rakyat ialah ia mungkin bukan komisyen
tetapi rasuah di antara pemimpin tersebut dengan individu yang mendapat komisen
itu.
Dalam laporan audit yang dibentangkan dalam Parlimen pada 7 September
2007 didapati bahawa PSC-Naval Dockyard yang dimiliki oleh Amin Shah Omar Shah
ketika itu sepatutnya membekal 27 kapal peronda bernilai 24 billion ringgit
tetapi sehingga pertengahan 2006 hanya 2 buah kapal peronda sahaja yang siap.
Itu pun terdapat 298 komplain yang dikemukakan dan 383 peralatan tidak dibekalkan.
Kontrak asal bernilai 5.35 billion ringgit meningkat kepada 6.75 billion
ringgit sehingga Januari 2007. Kementerian Pertahanan membayar 4.26 billion
ringgit walaupun kerja siap hanya bernilai 2.87 billion ringgit, iaitu lebihan
bayaran sebanyak 1.39 billion ringgit atau 48%. Anihnya, kabinet pula
meluluskan pengecualian penalti sebanyak 214 juta ringgit.

Kerajaan dituntut supaya tidak berlengah lagi untuk menjalankan
penyiasatan rapi terhadap kepincangan dan penyelewengan yang berlaku. Ini penting
agar tiada percubaan dibuat untuk melindungi mana-mana pemimpin kanan kerajaan
dan menutup skandal rasuah pembelian senjata yang melibatkan berbillion ringgit
wang rakyat.

Maka dengan itu, saya mencabar Perdana Menteri supaya menubuhkan satu
suruhanjaya bebas bagi menjalankan penyiasatan dengan segera. Penyiasatan ini
harus rapi bagi mendedahkan kepincangan dan penyelewengan dalam pembekalan
peralatan ketenteraan yang melibatkan pembayaran dari dana awam dengan cara
yang tersangat meragukan.

Kita perlu menyisih segala jenis sistem yang menyebabkan rakyat sangsi
ke atas integriti kerajaan dalam pengurusan ekonomi. Bila kesangsian dibentuk
dan berterusan, maka amat sukar pihak berkuasa mengurus ekonomi dengan berkesan
kerana setiap keputusan akan dipersoal dan dipersendakan. Akibatnya rakyat
bertambah ragu terhadap integriti kerajaan dan kepimpinan negara.


KRISIS MAKANAN

Tan Sri Yang di-Pertua,

Akhir-akhir ini banyak diperkatakan bahawa dunia sedang menghadapi
krisis makanan dimana pengeluaran beras dan bahan-bahan makanan lain tidak
dapat memenuhi permintaan yang makin meningkat dan menyebabkan harganya
melambung tinggi. Kekurangan berlaku kerana permintaan yang tinggi terutamanya
daripada China dan India, pertambahan penduduk dunia, berkurangnya kawasan
pertanian untuk memberi laluan kepada pembangunan hartanah dan industri,
kurangnya insentif untuk penerokaan kawasan baru untuk penanaman padi,
kekurangan air kerana digunakan untuk industri, cuaca dan kenaikan harga bahan
bakar.
Yang menghairankan, hampir semua negara-negara Asia dapat menghasilkan
padi dan beras bagi memenuhi keperluan dalam negara mereka melainkan 4 buah
negara iaitu Filipina, Bangladesh, Singapura dan Malaysia! Hatta, negara-negara
Asia yang maju industri seperti Jepun, Korea dan Taiwan dapat menghasilkan
beras melebihi keperluan dalam negara mereka. Kerajaan perlu memandang serius
perkara ini dan menjadikan agenda pengeluaran padi dan beras mencukupi untuk
keperluan negara sebagai agenda penting sepertimana Jepun menjadikan
pengeluaran padi dan beras sebagai agenda pertahanan negara.

Sepatutnya daripada berbelanja berbillion ringgit untuk kapal selam dan
kapalterbang Sukhoi, lebih baik kerajaan memberi tumpuan dalam meningkatkan
ransangan bagi sektor pertanian khasnya dalam rangka menjamin pengeluaran
makanan yang mencukupi untuk keperluan rakyat dan juga sebagai persiapan dalam
pertahanan negara. Kami menggesa agar usaha yang bersungguh-sungguh, baik bagi
peringkat kerajaan persekutuan maupun kerajaan-kerajaan negeri, dilakukan untuk
membantu golongan petani dan penanam padi. Peruntukan dana awam harus dijamin
untuk program pembinaan keberdayaan masyarakat tani kita bagi menghasilkan
pengeluaran makanan yang memenuhi keperluan negara.

PENDIDIKAN DAN MODAL INSAN

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pengurusan ekonomi semakin kompleks dan perlu kepada penyelesaian baru
baik domestik mahupun peringkat global. Dalam usaha mencapai kadar
pertumbuhan ekonomi yang tinggi kita tidak boleh lagi beranggapan berbelanja
melalui ciptaan beberapa projek mega atau infrastruktur koridor atau asas
ekonomi baru untuk menjana permintaan masa depan. Kita sudah melihat pemikiran
sedemikian tidak berjaya dan tidak berhasil.
Atas asas ini bagi memasti masa depan yang dinamik, usaha konkrit patut
dilakukan untuk mengubah komponen ekonomi modal insan bersesuaian dengan
ekonomi global. Kita perlu membina semula asas baru ekonomi dengan meningkatkan
nilai modal insan demi masa depan negara.

Saya ingin memberi contoh dimana pembangunan koridor tersilap sepertimana
pembangunan Cyberjaya. Tidak ada sebab untuk mempercayai apa yang dipanggil
pembangunan koridor-koridor yang dicadangkan kerajaan tidak mengalami nasib
yang sama seperti Cyberjaya.

Apabila kerajaan bercadang mencipta asas baru ekonomi berlandaskan
teknologi maklumat, kerajaan mengarahkan pelaburan kepada pembangunan
infrastruktur dan hartanah di Cyberjaya. Bagaimana ia boleh menjana pembangunan
ekonomi berasaskan teknologi maklumat melalui pembangunan infrastruktur dan
hartanah, sedangkan pembangunan teknologi maklumat di asaskan melalui idea,
pengetahuan dan aplikasi komputer. Nilai hakiki pembangunan teknologi maklumat
bermula dari modal insan yang menjurus kepada sistem pendidikan negara. Kualiti
dan pengetahuan yang disampaikan di universiti memainkan peranan penting dalam
pembangunan modal insan ini yang kemudian boleh digunapakai dalam pembangunan
ekonomi berasaskan teknologi maklumat atau keusahawanan produktif yang lain.

Semua mengetahui semasa kita membangun Cyberjaya, prestasi universiti
kita merundum terutama dalam bidang sains dan teknologi. Kita tidak mempunyai
persediaan yang mencukupi apabila melancarkan pembinaan Cyberjaya. Dengan
demikian kita gagal mencipta ekonomi berasaskan teknologi maklumat, walaupun
kerajaan membelanja berbillion ringgit dalam pembangunan koridornya. Cyberjaya
merupakan contoh terbaik dimana kerajaan gagal mengambil kira fundamental dan
hakikat asas ekonomi teknologi maklumat sebelum membangun Cyberjaya. Apa yang
di kehendaki oleh pemimpin politik ketika itu ialah pujian dan pujaan
sertamerta dari pemimpin dunia dalam pembangunan Cyberjaya, dan bukannya
pulangan ekonomi yang sepatutnya membina asas baru ekonomi negara. Sehingga
hari ini hasil pulangannya masih kabur.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pembaharuan dan perubahan dalam modal insan amat diperlukan dalam
menghadapi persaingan sengit ekonomi global. Seperti yang dapat dilihat di
India dan Ireland pembangunan teknologi maklumat adalah hasil langsung sistem
pendidikan kelas pertama yang diperlukan dalam era teknologi maklumat. Dalam
contoh kedua-dua negara tersebut, pembangunan infrastruktur dan hartanah datang
selepas pengumpulan kebolehan modal insan dan pembentukan asas teknologi
maklumat dalam ekonomi negara dan bukan sebelum itu. Ini membawa kita kepada keperluan
menaksir semula pengurusan ekonomi negara dengan memberi penekanan untuk
membincang segera dan bersungguh-sungguh masaalah yang dihadapi untuk memulih
kedudukan persaingan ekonomi negara dalam arena global.
Dalam hubungan ini, kita tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa
memperhebatkan lagi usaha meningkat prestasi dan kualiti pendidikan dalam
sistem universiti kita. Kita kena pastikan graduan yang dikeluarkan berkualiti
dan ‘marketable'. Sistem pendidikan kita mesti berupaya mendidik modal insan
yang bersedia diserapkan dalam perusahaan negara sama ada melalui syarikat
multinasional atau keusahawanan atau bekerja di luar negara. Saya difahamkan
ada kalangan professor di universiti tempatan terpaksa menyelia hingga 10
pelajar Phd sedangkan di universiti terbilang dunia seliaan tidak lebih
daripada dua atau tiga orang sahaja pelajar dalam satu masa. Bagaimana kita
hendak meningkatkan kualiti modal insan kalau demikianlah halnya dalam sistem
di universiti dalam negara kita.

Sistem pendidikan juga boleh digunakan untuk mengimbangi kedudukan
struktur sosio-ekonomi negara. Golongan lemah dan tidak berkemampuan harus
diberi peluang seluas-luasnya untuk mengubah kedudukan sosio-ekonomi mereka
agar dapat sama-sama bersaing dalam arus pembangunan negara. Keutamaan yang
diberi kepada golongan ini tidak bermakna kita perlu merendahkan standard
pendidikan kita tetapi mereka perlu memenuhi standard dan kualiti yang
ditetapkan oleh institusi pengajian dan keperluan ekonomi negara.

Kami menganggap pembangunan modal insan merupakan komponen kritikal dan
terpenting dalam pembangunan ekonomi negara ketika ini. Kalau dilihat ekonomi
terulung Asia, khasnya Jepun, Taiwan dan Korea, mereka tidak mempunyai sumber
asli tetapi menjadi pesaing ekonomi global yang berjaya kerana keupayaan
menakrif semula isi kandungan modal insan mereka. Malaysia perlu melakukan
perkara yang sama. Kita mesti mengalih mentaliti daripada pembangunan jenis
infrastruktur atau pembangunan ala koridor dan memberi tumpuan kepada
peningkatan tahap modal insan dengan menggalakkan innovasi berdasarkan idea
yang kreatif dan penerapan pengetahuan baru ke dalam sistem. Kami percaya
itulah pemancu asas baru pembangunan ekonomi negara.

KEHAKIMAN

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kami mengalu-alukan titah dan saranan Pemangku Sultan Perak Raja Dr.
Nazrin Shah agar ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman bagi memulihkan semula imej
badan kehakiman dalam perasmian Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia 2008
pada 9hb April baru-baru ini. Ini bagi memastikan keyakinan rakyat ke atas
badan kehakiman pulih semula dan tidak tertakluk dibawah kuasa eksekutif.

Saranan tersebut sangat bertepatan memandangkan sistem kehakiman tidak
lagi bebas, tercemar dan boleh dirasuah sepertimana terdedah dalam kes video VK
Lingam. Pendedahan dalam kes ini hanya sedikit atau ‘tip of the iceberg'.
Banyak lagi kes-kes yang disangsikan mendapat keadilan di bawah sistem
kehakiman sekarang termasuk pendakwaan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri
Dato' Seri Anwar Ibrahim, Yang Berhormat Lim Guan Eng dan Yang Berhormat Wee Choo Keong.

Peristiwa kebelakangan ini jelas menunjukkan kuasa eksekutif memijak
sistem kehakiman negara. Ketua Hakim Negara sendiri mengakui persepsi negatif
masyarakat terhadap sistem kehakiman. Ini satu pengakuan yang berbuka bahawa
sistem kehakiman berat sebelah, rasuah dan pengadilannya boleh diatur. Saya dan
semua ahli Pakatan Rakyat berpendapat sebenarnya ia bukan lagi persepsi tetapi
ternyata dan terbukti. Demokrasi sebenar yang menjamin budaya cemerlang ekonomi
berhajat kepada sistem kehakiman yang bebas, berkecuali dan adil.

Hakim-hakim tidak boleh membiarkan penghakiman mereka curang oleh
dorongan sama ada kewangan, kenaikan pangkat atau kepentingan peribadi.
Perbuatan ini akan membawa kerosakan teruk kepada pentadbiran keadilan dan
kepentingan ekonomi negara. Tidak menjadi rahsia lagi, kemerosotan pelaburan
langsung asing dan keengganan syarikat multinasional menandatangani perjanjian
yang memperuntukkan pertikaian dirujuk kepada perundangan Malaysia kerana
kesangsian dan pengalaman pahit mereka dengan sistem kehakiman negara. Dari
pengalaman itu, datang kesedaran kedudukan sebenar dan terbukti bahawa sistem
kehakiman negara tidak boleh dipercayai untuk mendapat keadilan yang saksama,
berkecuali dan adil dalam pentadbiran undang-undang negara. Bersemuka dengan
kenyataan ini, ramai dari kalangan mereka mengambil keputusan lebih baik
berpindah ke negara lain.

Atas dasar ini, negara perlu memberi nafas baru untuk menjadi sebuah
negara demokrasi sebenar dengan membuat reformasi ke atas sistem kehakiman
negara yang bebas, berkecuali dan adil. Ia sepatutnya menjadi keutamaan negara.
Kerajaan telah mengumumkan hasrat penubuhan Suruhanjaya Kehakiman. Walaupun
terlewat, ianya merupakan langkah yang dialu-alukan ke arah mengembalikan
keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem kehakiman negara.
Namun demikian, masih terdapat kesangsian dan kekhuatiran mengenai cadangan
tersebut. Sejauhmanakah keupayaan dan keberkesanannya? Apakah kerajaan dapat
memberi jaminan bahawa ia tidak akan berdolak-dalih dalam melaksanakan
syor-syor suruhanjaya itu nanti? Kita tidak mahu nanti Suruhanjaya Kehakiman
mengalami nasib seperti Suruhanjaya DiRaja yang ditubuh kerajaan bagi
menambahbaik pasukan polis. Kemudiannya, setelah syor dikemukakan untuk
membentuk satu mekanisme penyemakan yang bebas mengenai aduan dan salahlaku
polis atau lebih dikenali sebagai Independent Police Complaints and Misconduct
Commission (IPCMC), cadangan penubuhannya masih kabur, malahan tidak kedengaran
lagi.

Kesimpulannya, reformasi badan kehakiman amat diperlukan bagi
memulihkan kembali kebebasan kehakiman. Malahan apa jua bentuk reformasi
terhadap sistem pengadilan negara mesti tidak mengecualikan Jabatan Peguam
Negara dan Polis Di Raja Malaysia agar tidak berbangkit lagi amalan pincang
seperti penyiasatan terpilih dan juga pendakwaan terpilih.

ANTARABANGSA

Tan Sri Yang di-Pertua,

Malaysia merupakan anggota ASEAN, APEC, Komanwel, OIC, PBB dan
sebagainya. Dalam arena antarabangsa, tentunya kita tidak seharusnya terasing
terhadap apa-apa yang berlaku disekeliling kita, baik sebagai jiran, serantau
maupun global. Malahan, dalam kapasiti atau kepentingan yang sah, kita perlu
mempunyai sikap dan pendirian yang jelas dan tegas untuk mempertahankan
kedaulatan negara dan bertindak seiring dengan tuntutan nilai dan keadilan
sejagat. Dalam hubungan ini, kita tidak seharusnya bersikap apologetik, membisu
atau menyepikan diri daripada menyumbang dan memainkan peranan dalam arena dan
forum antarabangsa untuk mempertegaskan pendirian kita dengan sewajarnya.

Malaysia pernah diberi mandat mewakili negara-negara Islam sebagai
Pengerusi OIC. Harapan ummah dikecewakan kerana Malaysia tidak mengambil
tindakan berkesan untuk membela nasib negara dan umat Islam di serata dunia.
Malaysia dilihat lemah dan lesu dalam menangani konflik yang melanda
negara-negara Islam. Semasa Malaysia menjadi Pengerusi OIC, ia dilihat kaku dan
tidak berperanan dalam menangani konflik di Timur Tengah khasnya campurtangan
Amerika Syarikat bersama beberapa negara Barat lain di bumi Iraq dan keganasan
berterusan regim Israel di Palestin.

Kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya kehadiran tentera Amerika
Syarikat bersama negara-negara Barat lain di bumi Iraq dan mendesak mereka keluar
dengan kadar segera. Kami menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya
Amerika Syarikat menghentikan dasar campurtangannya di Iraq dan menyerahkan
kepada rakyat Iraq sendiri untuk menentukan penyelesaian terhadap permasalahan
dalam negara mereka sendiri.

Mengenai Palestin, kami menggesa kerajaan Persekutuan dan masyarakat
antarabangsa supaya mengiktiraf Hamas dan melibatkannya dalam proses perdamaian
di bumi Palestin. Penyisihan Hamas di dalam proses perdamaian akan menafikan
suara rakyat Palestin yang telah memilih mereka melalui proses demokrasi yang
diiktiraf dunia. Demi keadilan kepada rakyat Palestin, kami menyeru negara
Malaysia memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada kerajaan Palestin
pimpinan Hamas sebagai mewakili rakyat Palestin secara sah.

Mengenai ASEAN, secara khususnya kami mendesak supaya segala langkah
tegas diambil bagi memastikan Myanmar akur terhadap tuntutan antarabangsa agar
membebaskan Aung San Suu Kyi bersama tahanan-tahanan politik lainnya dan
mengembalikan hak-hak asasi mereka.

HAK-HAK PERLEMBAGAAN

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kami memperakui hak Melayu dan Bumiputera yang merangkumi negeri-negeri
Semenanjung, Sabah dan Sarawak sepertimana ditakrifkan dalam Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan. Kami menghormati dan mempertahankan semua hak yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan baik secara khusus mahu pun tersirat. Hak
orang Melayu dan Bumiputra dan kedudukan istimewa mereka sepertimana
ditakrifkan dalam Perlembagaan akan kekal.

Begitu juga dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tidak
akan dikompromi, disamping memberi kebebasan berugama kepada penganut agama
lain. Usaha memertabatkan kedudukan Islam dan kemuliaanya tidak harus memberi
legitimasi kepada gejala fanatisma seperti merobohkan kuil penganut Hindu dan
mengenakan sekatan yang tidak munasabah terhadap penganut Kristian dan ajaran
agama selain Islam.

Bahasa Melayu akan dimartabatkan. Kami mencadangkan supaya mutu
penggunaan Bahasa Melayu dipertingkatkan melalui pengeluaran buku-buku bermutu,
memperbanyakkan karya-karya sastera dan sains dalam Bahasa Melayu, mengajar
sains dan matematik dalam Bahasa Melayu dan memperhebatkan penggunaan Bahasa
Melayu dalam program-program media.

Kami juga mencadangkan supaya bahasa ibunda rakyat negara ini, baik di
negeri-negeri Semenanjung maupun Sabah dan Sarawak, diberi tempat sewajarnya
dalam sistem pendidikan negara. Bantuan dan peruntukan yang mencukupi diberikan
kepada semua sekolah termasuk sekolah agama rakyat, sekolah Cina dan sekolah
Tamil. Penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan rakyat perlu diperhebatkan.

Kami mempertegaskan bahawa kami menentang keras sebarang diskriminasi
terhadap rakyat semata-mata kerana perbezaan ugama, kaum, keturunan, jantina,
bahasa atau fahaman politik. Hakikatnya, jatidiri negara harus dibina di atas
asas ketuanan rakyat yang berteraskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan
dan nilai-nilai keadilan sejagat.

HAK ASASI MANUSIA

Tan Sri Yang di-Pertua,


Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan skop yang menyeluruh mengenai hak
asasi manusia termasuk hak bersuara dan hak berhimpun. Dalam pada itu negara
Malaysia telah menerima dan memperakui Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia
(1948) yang secara jelas dan nyata memperkukuhkan lagi hak-hak tersebut, disamping dengan tegas menolak sebarang pencabulan, sekatan dan halangan
terhadap hak bersuara, hak berhimpun dan lain-lain lagi hak asasi
manusia.

Namun demikian, pada realitinya hak-hak asasi yang dijamin oleh
Perlembagaan Persekutuan secara sistematik dibendung sejak dahulu melalui
pelbagai peruntukan undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan hingga
sekarang ini.

Justeru itu, sebagai mewakili seluruh suara pembangkang Parlimen dan
rakyat Malaysia amnya serta pernyataan tegas saya untuk menentang sebarang
bentuk penindasan terhadap kebebasan rakyat dan hak asasi manusia, melalui
Dewan yang mulia ini, sekali lagi saya menggesa kerajaan bertindak memansuhkan
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Polis, Akta
Penerbitan dan Percetakan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),
Ordinan-Ordinan Darurat dan berbagai undang-undang yang menindas kebebasan dan
hak asasi manusia.

Sebagai jaminan kukuh demi mempertahankan hak asasi manusia, kerajaan
digesa supaya bertindak menandatangani segera dan memperakui protokol
antarabangsa mengenai hak-hak sivil dan politik, iaitu dengan izin
International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR). Protokol ini
telah ditandatangani dan diperakui oleh kebanyakan negara-negara dunia sejak
ianya dikemukakan pada 1966, tetapi kerajaan Malaysia masih tidak berbuat
demikian. Malahan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah pun
mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya memperakui ICCPR, namun tidak
dipedulikan oleh kerajaan. Saya ingin tahu mengapa kerajaan masih berdegil
untuk tidak menandatangani dan memperakui protokol tersebut?

DEMOKRASI DAN FEDERALISMA

Tan Sri Yang di-Pertua,

Seterusnya saya ingin mengingatkan kerajaan Barisan Nasional di
peringkat persekutuan supaya menerima hakikat dan kenyataan bahawa rakyat ingin
perubahan sepertimana diperlihatkan dari keputusan pilihanraya umum kedua belas
yang lalu. Keinginan rakyat kepada perubahan ini tidak diperolehi dengan mudah.
Bukan sahaja kami berdepan dengan kekuatan Barisan Nasional yang memperalatkan
jentera kerajaan, media awam dan penggunaan politik wang, tetapi serentak
dengan itu juga kami terpaksa menghadapi segala tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) yang bagaikan bertindak sebagai komponen Barisan Nasional. Demokrasi
hampir terhakis dek karenah SPR semasa pilihanraya umum yang lalu. Proses
pilihanraya yang didakwa telus dan bebas oleh Pengerusi SPR sebenarnya tercemar
teruk dengan penyediaan daftar pemilih yang mencatatkan pendaftaran ribuan
pengundi-pengundi hantu. Empat hari menjelang hari penamaan, semua calon
dikehendaki untuk mematikan duti setem yang dikenakan pada borang Akuan
Berkanun, iaitu Borang 5 atau Borang 5A, yang kemudiannya secara tiba-tiba
ditarik balik tanpa sebab pada hari penamaan. Proses pengundian yang melibatkan
undi pos berlangsung dalam keadaan yang amat mencurigakan. Lebih meragukan kami
ialah empat hari sebelum hari mengundi, satu sandiwara murahan direncanakan
untuk membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal, atau indelible ink, pada
jari pengundi yang merupakan antara percubaan terakhir bagi memberi laluan
mudah kepada kemenangan Barisan Nasional. Keputusan pilihanraya umum lalu yang
memihak kepada calon-calon Pakatan Rakyat sebenarnya tidak ada kena mengena
dengan apa yang didakwa Pengerusi SPR sebagai pilihanraya yang paling telus
dalam sejarah. Sebaliknya keputusan tersebut adalah kemuncak kepada manifestasi
rakyat yang telah sekian lama menuntut perubahan. Dan manifestasi rakyat ini
tidak mungkin dapat dibendung lagi oleh Barisan Nasional maupun SPR. Malahan,
jika sekiranya pilihanraya umum dilangsungkan secara adil, bebas dan telus
menurut nilai dan norma antarabangsa, dan bukannya menurut acuan SPR, kami
berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat berjaya memenangi majoriti kerusi Dewan
Rakyat dan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Keputusan pilihanraya umum yang lalu, tanpa sebarang kesangsian,
membuktikan kematangan rakyat Malaysia dan memperjelaskan lagi tuntutan rakyat
bahawa:

- Pertamanya, suara dan pilihan rakyat harus dihormati,
- Kedua, dasar dan program kerajaan di semua peringkat perlu adil,
- Ketiga, salahguna kuasa mesti dihentikan, dan
- Keempat, kerajaan
sama ada pemimpin atau pegawai-pegawai mesti berkhidmat demi keperluan dan
kepentingan rakyat tanpa pilih kasih atau sentimen politik.


Keputusan rakyat dengan jelas memberikan mandat kepada perubahan
kerajaan-kerajaan negeri kepada parti-parti Pakatan Rakyat; khasnya bagi negeri
Selangor yang dipimpin oleh Ahli Yang Berhormat dari Bandar Tun Razak, negeri
Pulau Pinang yang diterajui oleh Ahli Yang Berhormat dari Bagan, negeri Perak
yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin,
negeri Kedah yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Ustaz Haji Azizan Abdul
Razak, dan negeri Kelantan yang kekal di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun demikian, sejak jemaah menteri dibentuk, sudah nampak petanda dan
bukti bahawa keputusan dan pilihan rakyat tidak dihormati. Antaranya;

- Ada berbagai ugutan bahawa peruntukan belanjawan kerajaan pusat untuk negeri-negeri
yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat akan ditarik balik, dibatalkan atau
disalurkan melalui saluran-saluran yang tidak lain bertujuan untuk
membentuk suatu jelmaan "parallel state government" menerusi Jabatan
Pembangunan Persekutuan, yang ternyata tidak demokratik sifatnya;

- Berbagai tindakan telah diambil dengan tujuan menjejaskan pentadbiran negeri-negeri yang
dikuasai Pakatan Rakyat, contohnya memaksa semua ketua kampong dan
ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampong (JKKK) meletakkan
jawatan, dan menyalurkan dana belanjawan awam melalui parti-parti politik
Barisan Nasional atau agensi-agensi tertentu yang dikuasai oleh kerajaan
pusat.


Namun, saya yakin bahawa semua tindakan ini tidak akan menjejaskan
keazaman kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk menunaikan amanah rakyat
dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Kami amat gembira melihat
kesungguhan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau
Pinang yang telah memulakan langkah berani dan besar dengan menghentikan amalan
sistem kontrak tertutup tanpa persaingan melalui tender terbuka. Langkah ini
sejajar dengan dasar Pakatan Rakyat bagi menjamin amalan pemerintahan yang
terbaik lagi telus untuk kepentingan rakyat.

Kami sedar bahawa dasar pemusatan belanjawan dan fiskal membolehkan
kerajaan Persekutuan bertindak dengan sewenang-wenangnya berdasar bulu politik,
dan bukannya berdasarkan kepada penghormatan suara rakyat, prinsip demokrasi
dan nilai keadilan sejagat. Persoalannya, mengapa pula rakyat harus dihukum?
Ini berlaku, tidak lain dan tidak bukan, semata-mata kerana dasar dan pemikiran
politik yang sempit dan rakus.

Saya menggesa kerajaan Persekutuan supaya menghentikan amalan
diskriminasi terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih secara sah menurut
pilihan rakyat, sekalipun pilihan tersebut tidak sehaluan dengan kehendak
pimpinan Barisan Nasional. Saya juga menggesa kerajaan Persekutuan tidak
mengulangi kesilapan demi kesilapan yang lalu dengan mengenepikan konsep dan
prinsip federalisma sepertimana yang pernah dilakukan terhadap Kelantan,
Terengganu dan Sabah.

Saya juga menggesa kerajaan supaya memastikan sistem pemerintahan
persekutuan benar-benar memenuhi tanggungjawabnya menurut kehendak peruntukan
Perlembagaan. Saya menggesa agar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan
prinsip tiada paksaan dalam beragama tidak dicabuli. Jaminan peruntukan dana
awam untuk negeri-negeri mesti disempurnakan. Kedudukan istimewa orang Melayu
dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum
lain dijamin dengan kukuh tanpa disalahgunakan.

Saya menyeru agar kerajaan menyerah semula royalti kepada kerajaan negeri Terengganu dan menaikkan kadar royalti kepada 20% dari 5% sekarang bukan
sahaja untuk Terengganu, malahan termasuk Sabah dan Sarawak, di samping
memastikan peruntukan yang seimbang dan adil untuk negeri-negeri lain dalam
Persekutuan.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Akhirnya, saya ingin menyarankan kepada Perdana Menteri, ubahlah sikap
dan tindakan. Tunaikanlah janji bahawa jawatan Perdana Menteri adalah untuk
semua tanpa mengira bulu dan sentimen politik. Kotakanlah kata dan hormatilah
suara dan pilihan rakyat.

Wallahu'alam dan terima kasih.