CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, May 18, 2008

ROYALTI PETROLEUM RM 7.3 BILLION: SIAPA KETUA PEROMPAK ?

"Amat mengejutkan. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri memaklumkan dalam sidang Parlimen bahawa Terengganu telah menerima royalti petroleum sebanyak RM7.3 billion. Sedangkan mantan Menteri Besar Terengganu mengatakan bahawa royalti yang diterima dalam bentuk Dana Khas hanya berjumlah RM1.3 billion setahun selama 3 tahun atau RM3.9 billion.
Mana satu mulut yang berkata benar? Apakah pengurusan wang negara dibuat macam duit keluar masuk kedai kopi? Yang lebih menarik ialah Idris Jusoh sendiri tidak tahu bagaimana wang ehsan itu diuruskan. Segala-galanya dari projek hinggalah kepada pembayaran ditentukan oleh Kementerian Kewangan. Kerajaan Terengganu tidak pernah diberikan maklumat mengenai jumlah sebenar wang itu dibelanjakan dan baki yang ada.
Berbalik kepada jumlah wang tadi, perbezaan antara kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dengan mantan Menteri Besar Terengganu ialah RM3.4 billion. Bagaimanakah selisih yang besar ini berlaku? Adakah wang itu telah dilesapkan oleh sesiapa? Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan semestinya menjawab isu ini. Kalau persoalan ini tidak dihuraikan, jangan salahkan rakyat kalau rakyat membuat tohmahan yang bukan-bukan.
Sebelum ini pun isu ini telah pun dibangkitkan oleh Menteri Besar Terengganu sekarang, Dato’ Ahmad Said. Banyak dakwaan-dakwaan beliau yang memecah tembelang ’permainan wang ehsan’ oleh Kerajaan Pusat ini. Ada projek yang tiba-tiba datang ke Terengganu tanpa diketahui oleh pucuk pimpinan negeri sendiri. Menteri Besar cuma diarahkan menurunkan tanda tangan sahaja. Patutlah Perdana Menteri begitu akrab dan mahukan Idris Jusoh terus menjadi Menteri Besar. Ada udang di sebalik batu yang telah mula disedari oleh rakyat.
Selama ini rakyat Terengganu telah diberi gula-gula apabila tiba setiap kali Hari Raya. Wang ehsan diagihkan kepada orang tua, belia, pelajar sekolah. Semua ini untuk menutup mulut rakyat Terengganu agar tidak bangun memberontak terhadap kecurangan UMNO. Mereka tidak akan tanya ke mana dan banyak mana wang itu hilang atau dibazirkan; yang penting mereka dapat ’gula-gula’ itu.
Kalaulah betul pelaksanaan wang royalti sebanyak RM7.3 billion, sudah tentu tiada lagi rakyat Terengganu yang miskin. Sangat lumayan jumlah itu untuk membantu kesuluruhan rakyat Terengganu. Tabung Bantuan Kemiskinan, bantuan melanjutkan pelajaran percuma, kesihatan percuma dan perumahan rakyat termiskin boleh dilaksanakan untuk kebajikan rakyat.
Kesimpulannya, kerajaan mestilah menjelaskan persoalan ini. Wang ehsan hendaklah dikembalikan kepada negeri Terengganu dalam bentuk royalti petroleum seperti sebelumnya. Sekiranya, isunya dipendamkan begitu sahaja, sewajarnya pemimpin Pakatan Rakyat bertindak baik di Parlimen mahupun melalui ceramah dan majlis penerangan.. Rakyat Terengganu sewajarnya bangkit menyuarakan isu ini. MAMPAT dan NGO-NGO mestilah mendesak kerajaan menyiasat hal ini. Dan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan bertanggungjawab untuk menjelaskan semua ini. Berdiam diri adalah tindakan perompak. Siapakah ketua perompak?

" Dilulus terbit pada Saturday, May 17 @ 15:53:19 MYT oleh greenboc Oleh IkangDukang

0 comments: