Arahan untuk memindahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak baru-baru ini telah menimbulkan krisis yang mengheret semua pihak ke kancah konflik berterusan dan sekaligus menimbulkan tandatanya yang berbagai di kalangan rakyat di negara ini. Bagi rakyat yang dihidangkan dengan media arus perdana yang ada kepentingan tertentu, rakyat menjadi semakin keliru apakah sebenarnya yang berlaku sehinggakan pokok-pangkal permasalahan menjadi kabur dan yang diperlihatkan menonjol ialah masalah-masalah lain yang lebih bersifat politikal bagi mengaut kelebihan politik.
Apa yang menyedihkan ialah isu ini menjadi bahan cemuhan pihak tertentu dan dalam mengukuhkan kerakusan mereka menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, mereka telah merendahkan kewibawaan Perkhidmatan Awam.
Saya ingin menjelaskan kepada rakyat bahawa isu Pengarah Jabatan Agama Islam ini perlu dilihat dari sudut professionalism dan bukan menjadi bahan politik murahan pihak tertentu sehingga menjejaskan nama baik perkhidmatan awam itu sendiri. Saya juga mendapat maklumat dan bukti yang jelas bahawa kewibawaan Pengarah JAIP hari ini dipertikaikan oleh pegawai-pegawainya sendiri bahkan satu memorandum telah dikemukakan terhadap Pengarah JAIP untuk perhatian pihak YAB Menteri Besar hari ini dan pihak Istana.
Isu Pengarah JAIP sepertimana yang ditegaskan adalah semata-semata isu untuk memartabatkan kewibawaan Perkhidmatan Awam supaya diletakkan JAIP pada tahapnya yang mengikut piawaian perkhidmatan awam. Isu pokok ini telah tenggelam apabila nilai tambah yang berlebihan dalam isu ini lebih menjurus kepada isu politik sempit golongan tertentu sehingga ia menjadi isu politik murahan. Bagi menjelaskan maksud ini, saya mengemukakan beberapa persoalan struktur perkhidmatan awam dalam melihat kewajaran Pengarah JAIP hari ini dipindahkan bagi memulihkan kewibaaan perkhidmatan awam supaya dihormati dan dipandang tinggi.
1. Berlaku 'anomoly' atau keganjilan dalam perjawatan Pengarah JAIP hari ini di mana beliau telah dipindahkan daripada jawatan DO untuk menjawat Pengarah JAIP pada gred memangku M 52 di mana gred hakiki ialah M48, dan dipinjamkan ke gred M54. Ini akan menjejaskan keputusan-keputusan yang dibuat dan akan timbul konflik pengurusan dalam hiraki kuasa dan jawatan. Gred Pengarah ini setelah dinaikkan pangkat ialah Gred M 52. Perkara ini menjejaskan nama baik Pekhidmatan awam.
2. Jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam selayaknya mendapat pegawai yang bergred JUSA (C), untuk memenuhi jawatan tersebut, Pengarah yang ada terpaksa dipinjamkan ke JUSA C. Perkara ini menjadi satu 'mockery' kepada Perkhidmatan Awam dan menjatuhkan kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak dan memalukan umat Islam negeri Perak.
3. Konflik perjawatan ini telah mendapat komplen daripada pegawai-pegawai JAIP di mana saya difahamkan hampir 40 % jawatan dalam JAIP masih belum dipenuhi dan 'morale' pegawai-pegawai JAIP berada pada tahap yang rendah kerana kedudukan Pengarahnya yang dipertikaikan perjawatannya. Kesan ini amat buruk bagi perjalanan sebuah pentadbiran Agama Islam dan nama baik umat Islam kerana dilihat tidak berada pada tahap professional yang tinggi.
4. Saya turut difahamkan komplen yang dimuatkan dalam memorandum Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Islam Negeri Perak turut mengadu tentang perilaku Pengarah JAIP yang tidak disenangi oleh pegawai-pegawainya. Begitujuga salah-laku dalam menguruskan peruntukan MAIP dalam pentadbiran zakat. Aduan juga dibuat tentang tindakan beliau yang bermotifkan politik dan tidak menepati kriteria profesionalisma sebagai seorang Pengarah JAIP. Sebagai Pengarah kepada Institusi Pentadbiran Agama, JAIP memerlukan seorang Pengarah yang ada latarbelakang akademik dari jurusan agama yang layak dan seorang yang berakhlak tinggi serta menghormati pegawai-pegawainya bagi melicinkan perjalanan JAIP sebagai institusi pentadbiran agama yang dihormati oleh semua.
Oleh itu saya menyeru supaya isu Pengarah JAIP ini dilihat dalam konteks Perkhidmatan Awam dan tidak dieksploitasikan oleh golongan yang berfikiran sempit untuk melarikan tajuk keluar daripada konteksnya. Saya juga menyeru supaya perhatian diberi dengan sewajarnya supaya JAIP mendapat pengarahnya yang lebih layak bagi menghindari 'anomaly' yang berlaku dalam pentadbiran JAIP.
Sekian
Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia Pengerusi Perpaduan Nasional PAS Pusat
Sunday, May 18, 2008
Krisis pengarah Jabatan Agama Islam
Posted by KEMBARA SUFI at 8:34 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment